ISTANBUL: Pejabat Pendakwa Rom mengumumkan siasatan sudah dibuka berhubung penahanan dua aktivis semasa flotilla bantuan Gaza dipintas Israel di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Siasatan itu membabitkan operasi dijalankan pada malam 29 April lalu, di luar pantai Pulau Crete, Greece, di mana tentera Israel memintas beberapa bot Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, menurut agensi berita Itali, ANSA.
Pihak berkuasa Israel menyatakan seramai 175 aktivis sudah dibawa keluar dari kapal-kapal berkenaan.
Sebahagian besar daripada mereka kemudiannya dibebaskan, termasuk 24 warga Itali, lapor Anadolu Ajansi.
Bagaimanapun, dua aktivis iaitu warga Sepanyol, Saif Abu Keshek dan warga Brazil, Thiago Avila, ditahan dan dibawa ke Bandar Ashkelon, Israel.
Pendakwa melancarkan siasatan selepas menerima tiga aduan rasmi, termasuk dua berkaitan Avila dan Abu Keshek, yang dilaporkan diambil dari kapal berbendera Itali dan masih berada dalam tahanan.
Menurut laporan itu, kes berkenaan juga menyasarkan individu yang tidak dikenali atas syak wasangka melakukan penculikan, rompakan, dan menyebabkan kerosakan yang berisiko mengakibatkan kapal karam.
Penyiasat dijangka mengemukakan permohonan kerjasama kehakiman antarabangsa, yang dikenali sebagai “letter rogatory”, kepada pihak berkuasa Israel sebagai sebahagian daripada siasatan itu.
Pendakwa Rom sebelum ini sudah pun meneliti kes berasingan yang dikaitkan dengan misi Global Sumud Flotilla tahun lalu, membabitkan dakwaan kesalahan termasuk penyeksaan.
Kapal Global Sumud Flotilla dipintas berhampiran Crete, kira-kira 600 batu nautika dari destinasinya di enklaf Gaza yang disekat dan dikepung.
Kumpulan kapal pertama flotilla itu yang membawa bantuan kemanusiaan bertolak dari Barcelona pada 12 April lalu, manakala armada utama belayar dari Pulau Sicily, Itali pada 26 April lalu dengan matlamat untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza yang berlarutan selama bertahun-tahun.
Israel mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Rejim itu melancarkan serangan kejam selama dua tahun ke atas Gaza pada Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain, serta mengakibatkan kemusnahan besar-besaran di seluruh wilayah yang terkepung itu.
– BERNAMA-ANADOLU

