KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan memberi bayangan positif untuk kembali beraksi pada Masters Malaysia 2026 dari 19 hingga 24 Mei ini selepas hampir sebulan berehat akibat kecederaan belakang.
Pearly yang bergandingan dengan M Thinaah kini berada di fasa akhir pemulihan dan semakin hampir mencapai tahap kecergasan optimum menjelang kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu.
“Saya rasa sepanjang tiga minggu ini, saya dapat rawatan yang sangat baik dan fokus sepenuhnya kepada pemulihan kecederaan.
“Setakat ini, sudah tiada kesakitan dan keadaan semakin baik. Sekarang saya hanya perlu tingkatkan semula prestasi secara berperingkat,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Sebelum ini, Pearly terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark susulan kecederaan belakang berulang yang dialami ketika Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, bulan lalu.
Kecederaan berkenaan turut mengundang kebimbangan memandangkan dia pernah mengalami kecederaan serius di bahagian sama kira-kira tiga tahun lalu.
“Bahagian belakang ini memang pernah alami kecederaan serius sebelum ini, jadi kali ini saya lebih berhati-hati.
“Bagaimanapun, kecederaan ini hanya melibatkan koyakan otot dan sedikit pada ligamen, tidak memerlukan pembedahan dan saya sudah pulih sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Pearly menzahirkan rasa gembira dengan peningkatan prestasi dipamerkan beregu wanita muda negara di Horsens.
Paling mencuri tumpuan gandingan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang mencipta kejutan menewaskan gandingan nombor tujuh dunia dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B.
Satu lagi gandingan, Ong Xin Yee-Carmen Ting turut menunjukkan peningkatan apabila memberi tentangan sengit kepada gandingan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning ketika aksi suku akhir sebelum tewas dalam pertarungan tiga set.
“Saya gembira apabila ada lebih banyak pasangan yang mampu memberi saingan kerana bukan mudah untuk lahirkan gandingan berkualiti.
“Persaingan sihat ini bagus untuk semua pemain terus menolak had masing-masing dan meningkatkan prestasi,” katanya.

