IPOH: Seorang wanita warga emas berusia 70 tahun ditemui mati di kediamannya di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, di sini, malam tadi dengan kesan tetakan pada badan, kepala dan leher.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah, berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Beliau berkata, polis menerima laporan kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa terbaring tidak bernyawa.
“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan dipercayai akibat tetakan pada badan, kepala dan leher,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Najib berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini.
Beliau berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Kami menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi kerana ia boleh mengganggu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau balai polis berhampiran,” katanya.

