LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan dua lelaki dan merampas minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM134,000 disorokkan dalam ruang khas dibina di bahagian bawah bonet belakang kenderaan pacuan empat roda yang diubahsuai pada minggu lalu.
Dalam kejadian pada jam 12.01 tengah hari 27 April lalu, kenderaan itu dikesan menunggu giliran menaiki feri RORO di Terminal Feri Kenderaan Labuan menuju ke Menumbok, Sabah.
Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Labuan, Aspalila Ag Tuah, berkata rampasan 72.5 liter minuman keras pelbagai jenama itu dilakukan hasil pemeriksaan pasukan Cawangan Penguatkuasaan bersama Cawangan Pemeriksaan Penumpang terminal berkenaan.
“Minuman keras itu dipercayai cuba diseludup keluar dari Labuan ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tanpa pengikraran dengan menyembunyikannya dalam ruang diubahsuai pada kenderaan.
“Nilai rampasan dianggarkan RM128,090, manakala jumlah duti dan cukai sebanyak RM6,066.48, menjadikan keseluruhan nilai rampasan mencecah RM134,156.48,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Aspalila berkata, modus operandi digunakan adalah menyembunyikan minuman keras di ruang khas dibina di bahagian bawah bonet belakang kenderaan yang diubah suai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (mana lebih tinggi) hingga maksimum 20 kali ganda atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kegiatan penyeludupan yang bukan saja merugikan negara dari segi hasil cukai, malah memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Susulan itu, orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol kastam di 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam
berhampiran,” katanya.

