PATI Myanmar ‘check in’ inap desa elak ditahan pihak berkuasa

ARAU: Taktik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar etnik Rohingya menjadikan inap desa sebagai lokasi persembunyian terbongkar selepas lokasi itu diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, serbuan Op Pintas Pemerdagangan Manusia dijalankan bermula jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi tadi di inap desa di Jalan Padang Nyu, di sini.

Beliau berkata, operasi tersebut digerakkan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah bersama pasukan bertugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau membabitkan tiga pegawai dan 21 anggota.

“Hasil serbuan, pihak polis menahan seramai 28 etnik Rohingya yang terdiri daripada 10 lelaki dan 10 wanita dewasa berusia lingkungan 19 hingga 44 tahun, serta lapan kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur setahun hingga 16 tahun.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati 15 daripada mereka mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan individu terbabit dibebaskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, baki 13 individu lagi yang terdiri daripada seorang lelaki, tujuh wanita, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Mengulas mengenai modus operandi, beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua PATI terbabit memboloskan diri ke negara ini sejak satu hingga dua tahun yang lalu.

“Mereka dipercayai menaiki bot dari Myanmar dan berlabuh di perairan Thailand, sebelum berjalan kaki menyusup masuk ke sempadan Malaysia melalui laluan tidak sah dengan bantuan etnik Rohingya lain yang tidak mereka kenali.

“Kesemua warga asing ini juga didapati tiada perancangan ke mana-mana destinasi seterusnya, sebaliknya hanya mencari perlindungan dan tempat tinggal yang selamat serta berlindung daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, kesemua 13 PATI berkenaan dibawa ke IPD Arau untuk tindakan lanjut dan kini direman selama 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.