Pelombong haram pasang CCTV dalam hutan elak serbuan

Zaid Salim

‎CHUKAI: Pengusaha lombong bijih besi haram dipercayai sanggup memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hutan bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

‎‎CCTV itu dipasang untuk memantau pergerakan keluar masuk ke kawasan perlombongan yang menempatkan pekerja warga asing, terutama dari Bangladesh dan Indonesia.

‎Hasil risikan Jabatan Imigresen mendapati sekurang-kurangnya lima kawasan perlombongan biji besi beroperasi dalam kawasan ladang sawit di Ladang Ketengah Jaya, dekat Kampung Seri Bandi, Hulu Chukai, di sini.

‎Risikan turut mendapati terdapat banyak rumah kongsi dibina secara berasingan selain khemah yang didirikan berhampiran kawasan hutan.

Untuk memasuki kawasan berkenaan, pihak berkuasa terpaksa menggunakan alat pemotong besi memotong mangga pada palang besi berhampiran pondok pengawal yang dilengkapi CCTV.

‎Dalam serbuan minggu lalu, anggota imigresen mengambil masa hampir setengah jam sebelum berjaya masuk kawasan perlombongan terbabit.

‎‎Pengarah Imigresen Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, pihaknya menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan meredah laluan berbukit sebelum tiba di kawasan perlombongan itu kira-kira jam 3 pagi.

‎‎”Bagaimanapun, sebaik tiba, kami mendapati tiada individu di kawasan perlombongan berkenaan walaupun beberapa enjin yang digunakan untuk aktiviti perlombongan masih hidup.

‎‎”Kita percaya mereka sempat melarikan diri selepas menyedari kawasan ini diserbu.

‎‎”Pemeriksaan di beberapa rumah kongsi juga mendapati semuanya kosong dan dipercayai mereka baru melarikan diri berdasarkan kipas angin dalam rumah kongsi yang masih panas,” katanya.

‎‎Wartawan yang menyertai operasi itu turut mendapati beberapa khemah dibina berhampiran kawasan hutan yang dipercayai menjadi laluan atau lokasi persembunyian sekiranya berlaku serbuan.

‎‎Dalam operasi itu, pihak imigresen menahan 10 lelaki warga Bangladesh yang ditemui sedang tidur di dua rumah kongsi di kawasan berkenaan.

‎‎Mohd Yusri berkata, pihaknya percaya rumah kongsi berhampiran hutan itu turut didiami pekerja warga Indonesia yang berjaya meloloskan diri.

‎‎Katanya, imigresen akan mempergiat operasi di kawasan terbabit termasuk merancang strategi baharu bagi memastikan lebih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat ditahan dalam operasi akan datang.