BEIJING: Video memaparkan seorang wanita terjatuh dari buaian di kawasan air terjun Maliuyan, taman rekreasi aktiviti lasak popular di Huaying, wilayah Sichuan, tular di media sosial.
Tragedi mengorbankan pelancong wanita dikenali dengan nama Liu itu berlaku Ahad lalu. Mangsa dipercayai terhempas dari kawasan tinggi di Air Terjun Maliuyan apabila tali keselamatan pada badannya dipercayai terlucut.
Pihak berkuasa memaklumkan wanita berkenaan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, menurut portal berita Global Times.
Susulan kejadian, pihak berkuasa tempatan menutup taman berkenaan untuk penilaian keselamatan, siasatan dan kakitangan bertanggungjawab akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang jika terbukti cuai.
Kenyataan penyiasat yang disiarkan di akaun WeChat rasmi Jabatan Publisiti Huayong mengesahkan Liu meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan dan menzahirkan dukacita atas tragedi berkenaan.
Pihak berkuasa tempatan sudah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat insiden itu, yang di peringkat awal diklasifikasikan sebagai kemalangan liabiliti keselamatan kerja yang berpunca daripada kecuaian pengusaha.
Syarikat serta individu yang berkaitan sedang disiasat dan bakal berdepan tindakan, menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa kumpulan penyiasat sudah mencapai persetujuan penyelesaian yang sewajarnya dengan keluarga mangsa.

