Warga Russia ditahan anjur pelancongan haram di Thailand

PHUKET: Polis menahan lima warga Russia kerana terbabit dalam penganjuran pelancongan tanpa kebenaran serta kerja-kerja pengubahsuaian bangunan secara haram, lapor portal berita Bangkok Post, semalam.

Di Phuket, seorang lelaki Russia berusia 37 tahun ditahan di atas sebuah bot ketika sedang mengendalikan aktiviti memancing bagi lima rakan senegaranya di Teluk Chalong, semalam.

Pegawai Polis Pelancong Phuket, Leftenan Jeneral Ekachai Siri, berkata tangkapan itu adalah sebahagian daripada operasi penyamaran yang dirancang selama sebulan selepas seorang pemberi maklumat menyusup masuk ke dalam kumpulan perkhidmatan pelancongan haram yang diketuai suspek.

Beliau berkata, lelaki Russia terbabit mengenakan bayaran sebanyak 3,000 baht (kira-kira RM390) bagi perkhidmatan pemandu pelancong, iaitu sektor pekerjaan yang dikhaskan hanya untuk warga Thailand.

“Aktiviti tidak sah berkenaan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan atau denda sehingga 500,000 baht (kira-kira RM65,000).

Kelmarin, di Surat Thani, polis berjaya menahan empat lelaki Russia yang sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sebuah bangunan di Koh Samui milik rakan senegara mereka yang dirancang untuk dijadikan pusat hiburan.

Kesemua suspek berkenaan memegang visa pelancong dan berdaftar menetap di Phuket, namun dua daripada mereka didapati sudah tinggal melebihi tempoh.

Mereka dilaporkan pergi ke Koh Samui untuk melakukan pengubahsuaian berhampiran Pantai Chaweng di mukim Bo Phut, lokasi yang dirancang untuk pembukaan sebuah bar karaoke.

Suspek berusia antara 27 hingga 45 tahun itu ditahan bersama pelbagai peralatan pertukangan serta kelengkapan audio dan video bagi sistem karaoke dan elektrik premis berkenaan. – AGENSI