LONDON: Mikel Arteta menolak kritikan pihak yang digelarnya sebagai “polis sambutan” susulan reaksi Arsenal meraikan kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara.
The Gunners menewaskan Atletico Madrid 1-0 awal pagi Rabu lalu untuk melengkapkan kemenangan agregat 2-1 di separuh akhir sekali gus menempah pertemuan final menentang juara bertahan, Paris Saint-Germain di Budapest pada 30 Mei ini.
Kejayaan itu mencetus suasana penuh emosi di Stadium Emirates apabila Arteta dilihat menari di tengah padang, manakala pemain Arsenal berpegangan tangan sebelum berlari meraikan kemenangan bersama penyokong di kedua-dua hujung stadium selepas mara ke final buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Namun Arsenal dikritik sesetengah pihak kerana dianggap meraikan kejayaan secara berlebihan walaupun belum memenangi sebarang trofi.
Bekas kapten England, Wayne Rooney menyifatkan sambutan itu sebagai “sedikit keterlaluan”, manakala bekas penyerang Arsenal, Ian Wright pula berkata “polis sambutan akan muncul beramai-ramai” sambil menggesa penyokong “jangan sampai ditahan.”
Ketika ditanya mengenai perdebatan itu semalam, Arteta berkata: “Pertama sekali, saya tidak tahu mengenainya tetapi saya tidak kisah.
“Saya fikir anda perlu hormati setiap pandangan dan letakkannya di tempat yang sepatutnya. Saya letakkan ia di tempat yang sepatutnya. Itu bukan sesuatu yang penting.
“Saya anggap kritikan itu ada yang positif dan negatif. Saya tidak mahu bercakap soal kritikan, sama ada positif atau negatif. Tetapi itu yang menjadikan anda lebih baik.
“Apabila anda mahu menetapkan standard dan tahap prestasi lebih tinggi untuk bersaing dalam dua pertandingan paling berprestij di Eropah, anda perlu bersedia menghadapi semua ini kerana anda tahu cabaran dan kesukarannya. Ia pasti menjadikan anda lebih baik.”
Arsenal kini semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 2004 apabila bertandang ke West Ham United yang sedang bergelut di zon penyingkiran malam esok.
Manchester City akan menentang Brentford tengah malam ini dan boleh merapatkan jurang kepada dua mata sebelum Arsenal turun beraksi di Stadium London.
“Memahami konteks perlawanan untuk kedua-dua kelab, ia sangat besar.
“Kami tahu prosesnya, kami tahu apa yang kami mahu dan apa yang perlu dilakukan untuk memenangi perlawanan ini.
“Kami perlu kekal fokus pada masa sekarang, menikmati detik ini, membuat persiapan dan menunjukkan tahap tenaga, kelaparan dan keinginan sama seperti sepanjang musim ini, atau lebih lagi.
“Kerana kami semakin hampir dan segala yang kami lakukan sekarang akan menentukan sama ada kami menang atau tidak,” katanya. – AGENSI

