Penuba ikan Sungai Merchong diburu

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang berusaha mengesan individu dipercayai terbabit aktiviti tuba atau meracun ikan di Sungai Merchong di Pekan, kelmarin.

Pengarahnya, Roslan Abu Hasan, berkata sungai berkenaan adalah tumpuan masyarakat Orang Asli di situ mendapatkan hasil makanan mereka.

“Jabatan perlu berusaha mengesan pihak terbabit yang menyebabkan kematian ikan menggunakan bahan yang dilarang. Saya difahamkan banyak ikan mati sepanjang Sungai Merchong yang terletak dalam kawasan hutan paya gambut.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dikatakan berlaku beberapa hari lalu dan banyak ikan timbul di permukaan sungai. Bagaimanapun sama ada bahan terlarang, tuba atau racun kimia digunakan dalam kejadian itu tidak dapat dipastikan lagi,” katanya ketika dihubungi, sini hari ini.

Beliau berkata, kedudukan Sungai Merchong jauh ke dalam hutan dan mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba dengan menggunakan pacuan empat roda melalui laluan dalam hutan dan kawasan ladang kelapa sawit.

Mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang, individu terbukti menggunakan tuba atau racun untuk menangkap ikan boleh dikenakan kompaun antara RM500 hingga RM1,000 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas.

Menegaskan jabatan itu tidak berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan, Roslan berkata, musim kemarau menyebabkan banyak sungai utama dan kecil menjadi cetek dan peluang itu digunakan pihak tidak bertanggungjawab menangkap ikan guna peralatan yang dilarang.

“Perbuatan sedemikian boleh menyumbang pupusnya hidupan air terutama ikan. Selain tuba atau racun, penggunaan arus elektrik dan bahan letupan juga dikesan setiap kali musim kemarau, terutama di kawasan pedalaman.

“Jadi, kami berharap masyarakat Orang Asli, termasuk nelayan darat dapat memberi kerjasama dengan melaporkan kepada jabatan sekiranya mengesan kegiatan menangkap ikan menggunakan tuba, racun, bahan letupan dan arus elektrik.

“Usaha jabatan menambah taburan ikan di perairan umum negeri ini melalui pelepasan pelbagai spesies tidak akan berhasil sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab menangkap hasil sungai itu menggunakan cara tidak dibenarkan,” katanya.