Singapura sasar tambah 3,000 sukarelawan pertahanan dalam tempoh 3 hingga 5 tahun

SINGAPURA: Individu yang menetap di Singapura kini boleh memohon menyertai pelbagai skim sukarelawan awam baharu yang diperkenalkan bagi membolehkan orang awam menyumbang kepada ekosistem pertahanan negara.

Inisiatif baharu dinamakan Rangkaian Sukarelawan Pertahanan Singapura (SG Defence) dilancarkan oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Zaqy Mohamad.

Ia menggabungkan sukarelawan daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kor Sukarelawan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan organisasi lain yang berkaitan.

MINDEF dalam satu kenyataan media dipetik CNA, memaklumkan, terdapat sebanyak 10 skim sukarelawan awam dalam rangkaian itu, sekali gus mewujudkan kapasiti bagi hampir 400 sukarelawan baharu.

“Melalui skim sukarelawan awam ini, ia mewujudkan laluan baharu bagi penyertaan bermakna dalam usaha pertahanan secara kolektif,” katanya.

Ketika ini, terdapat kira-kira 1,500 sukarelawan tentera dan awam yang menyumbang kepada pertahanan Singapura.

Menurut MINDEF, rangkaian baharu itu menyasarkan untuk menggandakan jumlah penyertaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Beliau berkata, ia juga bakal menawarkan lebih banyak peluang kepada lelaki dan wanita yang menetap di Singapura, tanpa mengira kewarganegaraan untuk menyumbang kepada pertahanan negara.

“Individu yang berminat dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pemeliharaan warisan, seni reka kreatif atau sokongan ketenteraan langsung boleh mencari cara yang bermakna untuk menyumbang kepada pertahanan negara,” kata kenyataan itu sambil menambah rangkaian itu akan menawarkan pelbagai peluang mengikut minat, kemahiran dan kesesuaian masa.

Individu yang berminat boleh meneliti skim sukarelawan yang ditawarkan dan memohon melalui portal SG Defence.

Sukarelawan mestilah berumur sekurang-kurangnya 16 tahun dan mampu memberi komitmen sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan.

Semua penduduk Singapura termasuk warga negara baharu, penduduk tetap dan warga asing dialu-alukan untuk mengemukakan permohonan.

Keperluan khusus juga berbeza mengikut skim sukarelawan yang ditawarkan.

“Dalam persekitaran keselamatan yang semakin kompleks hari ini, Singapura berdepan ancaman yang berubah-ubah dan memerlukan respons seluruh masyarakat.

“Sama ada anda berkhidmat memakai uniform, berkongsi kepakaran atau mempromosikan daya tahan nasional dalam komuniti, sumbangan anda amat bermakna,” katanya yang turut memberitahu, SG Defence memberi tumpuan kepada sukarelawan yang menyokong secara langsung pertahanan ketenteraan dan perkhidmatan kepada negara. – AGENSI