Juruteknik ditemui mati berlumuran darah dalam pangsapuri

JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditikam di sebuah rumah pangsapuri di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pukul 11.12 malam.

“Mangsa berusia 33 tahun yang bekerja sebagai juruteknik ditemui terbaring dalam kediaman berkenaan pukul 10.50 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati sebilah pisau turut ditemukan di sisi mangsa yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette