Sekarang bukan masa berebut kuasa – PM

SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan sekarang bukan masanya untuk berebut kuasa, sebaliknya pemimpin perlu fokus kepada masalah rakyat susulan berlakunya ketidaktentuan global kini.

Perdana Menteri berkata, suara bagi penentuan kuasa itu seharusnya dilontarkan melalui gelanggang pilihan raya apabila tiba masanya kelak.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan sebelum ini.

“Selesaikan cara musyawarah, muafakat yang baik. Negeri Sembilan juga tidak terlepas. Jadi saya tabik Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kerana kecekalan dan semangat yang beliau tunjukkan dalam mengharungi kemelut politik yang tidak berkesudahan.

“Negara kita menghadapi masalah, fokusnya ke masalah rakyat, bukan perebutan. Bukan masanya, ada masa dalam sistem kita, …pilihan raya, itu gelanggangnya. Tapi sekarang masa kita bangun, rakyat harus diberi perhatian,” katanya berucap ketika merasmikan Hari Belia Negara 2026, di sini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM), iaitu pertambahan sebanyak RM1 juta berbanding sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2026 Peringkat Kebangsaan di X-Park Sendayan hari ini. - foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2026 Peringkat Kebangsaan di X-Park Sendayan hari ini. – foto BERNAMA