BEIJING: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping dijadual mengadakan pertemuan hari ini bagi menamatkan lawatan rasmi Trump ke China selama dua hari.
Kedua-dua pemimpin juga dijadual mengadakan sesi minum teh dan makan tengah hari sebelum Trump pulang ke AS.
Lawatan itu menyaksikan beberapa acara rasmi dan urus niaga perniagaan dimeterai, namun turut diselubungi ketegangan apabila Xi memberi amaran tegas berhubung isu Taiwan boleh menjejaskan hubungan AS-China jika tidak ditangani dengan baik.
Trump berada di China untuk lawatan pertamanya sebagai Presiden AS sejak 2017, ketika penggal pertamanya memegang jawatan.
Beliau berharap lawatan itu dapat membawa hasil positif yang mampu meningkatkan sokongan rakyat AS terhadapnya menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
Sidang kemuncak itu diadakan bagi memastikan hubungan perdagangan antara AS dan China terus stabil selepas kedua-dua negara sebelum ini bersetuju meredakan perang tarif pada Oktober lalu.
Ketika itu, Trump menangguhkan cukai import tinggi ke atas barangan China, manakala Xi pula menarik balik sekatan yang boleh menjejaskan bekalan unsur nadir bumi penting kepada pasaran dunia.
Pada masa sama, Trump dijangka mendesak China untuk mempengaruhi Iran supaya mencapai perjanjian damai dengan Washington bagi menamatkan perang yang semakin tidak popular dalam kalangan pengundi AS.
Namun, kedudukan Trump ketika ini dilihat semakin tertekan selepas mahkamah AS mengehadkan kuasanya mengenakan tarif perdagangan sesuka hati, selain kenaikan harga susulan perang Iran menjadikannya lebih terdedah kepada tekanan politik domestik.
Ringkasan rundingan AS semalam menekankan hasrat bersama kedua-dua pemimpin mahu memastikan Selat Hormuz berhampiran Iran dibuka semula, di mana kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli dunia didagangkan dalam keadaan biasa.
Xi juga dilaporkan berminat membeli minyak dari AS bagi mengurangkan kebergantungan China terhadap bekalan Asia Barat.
Dalam pada itu, Trump memberitahu Fox News Channel, Sean Hannity, bahawa China bersetuju menempah 200 pesawat Boeing, yang akan menjadi pembelian pertama pesawat komersial buatan AS oleh negara itu dalam hampir 10 tahun.
Namun, kenyataan Xi mengenai Taiwan dilihat sebagai amaran tegas kepada AS walaupun suasana sidang kemuncak itu secara keseluruhannya berlangsung dalam keadaan mesra.
Menurut Kementerian Luar China, kenyataan itu dibuat dalam pertemuan tertutup antara Xi dan Trump yang berlangsung lebih dua jam.
Taiwan yang terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari pantai China, sejak sekian lama menjadi isu sensitif antara AS dan China.
Beijing tidak menolak kemungkinan menggunakan kekuatan tentera untuk menguasai pulau itu, manakala AS pula terikat dengani undang-undang yang membolehkannya membantu Taipei mempertahankan diri.
Kementerian Luar China berkata, Xi memberitahu Trump bahawa rundingan persediaan antara pasukan perdagangan AS dan China pada Rabu mencapai hasil yang seimbang dan positif.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent yang mengetuai rundingan itu berkata, beliau menjangkakan kemajuan dalam mewujudkan mekanisme bagi menyokong perdagangan dan pelaburan dua hala pada masa depan. – REUTERS

