LONDON: Chelsea dan Manchester City akan berentap pada final Piala FA Inggeris di Stadium Wembley, malam esok dalam pertemuan ketujuh antara kedua-dua pasukan di pentas keramat itu.
City yang sudah tujuh kali menjuarai kejohanan masih memburu treble domestik, manakala Chelsea berharap mampu menyelamatkan musim suram mereka dengan menjulang trofi buat kali kesembilan.
Chelsea buru trofi kesembilan
Chelsea berpeluang muncul pasukan ketiga paling berjaya dalam sejarah Piala FA jika menang kali kesembilan sekali gus mengatasi Liverpool dan Tottenham Hotspur. Hanya Arsenal (14) dan Manchester United (13) memiliki lebih banyak gelaran.
Ia juga final ke-17 Chelsea dalam kejohanan itu, hanya dibezakan Arsenal (21) dan United (22).PlayNextMute
The Blues turut mara ke final keenam dalam tempoh 10 musim terakhir dan final ke-10 dalam tempoh 20 musim dengan rekod lima kemenangan dan empat kekalahan.
Namun rekod mutakhir Chelsea di Wembley tidak begitu meyakinkan apabila mereka tewas dalam lima final domestik terakhir termasuk tiga final Piala FA berturut-turut antara 2020 hingga 2022.
Lebih membimbangkan, Chelsea gagal menjaringkan gol dalam empat final terakhir di stadium nasional itu.
Jika menang kali ini, Chelsea juga akan memastikan tujuh musim berturut-turut menyaksikan juara berbeza dalam Piala FA.
McFarlane mahu ikut jejak kejayaan pengurus sementara
Jika Chelsea menang, Calum McFarlane akan menjadi pengurus sementara ketiga menghadiahkan Piala FA buat kelab itu selepas Guus Hiddink pada 2009 dan Roberto Di Matteo pada 2012.
Namun untuk melakukannya, McFarlane perlu menamatkan dominasi Pep Guardiola ke atas Chelsea sejak Thomas Tuchel menewaskan City pada final Liga Juara-Juara 2021.
Sejak itu, Tuchel, Graham Potter, Frank Lampard, Mauricio Pochettino, Enzo Maresca, Liam Rosenior dan McFarlane sendiri gagal menewaskan Guardiola dalam 13 perlawanan.
Palmer pemain aksi besar
Cole Palmer sekali lagi menjadi sandaran Chelsea selepas terbabit secara langsung dalam lima gol daripada dua final utama bersama kelab itu.
Dia mencipta dua umpanan gol ketika Chelsea menjuarai Liga Konferens UEFA menewaskan Real Betis sebelum menjaringkan dua gol dan satu bantuan jaringan ketika final Piala Dunia Kelab menentang PSG.
Palmer juga menjaringkan gol buat England pada final Euro 2024 menentang Sepanyol.
Garnacho buru rekod unik
Alejandro Garnacho yang sudah menjaringkan dua gol sepanjang kempen Piala FA Chelsea musim ini berpeluang mencipta sejarah.
Dia boleh menjadi pemain pertama menjaringkan gol untuk dua pasukan berbeza menentang lawan sama pada final Piala FA selepas menjaringkan gol untuk Manchester United ketika menewaskan City 2-1 pada final musim 2023-24.
Fernandez intai jejak Drogba
Enzo Fernandez pula mahu menjadi pemain pertama Chelsea menjaringkan gol pada separuh akhir dan final Piala FA pada musim sama sejak Didier Drogba dan Ramires melakukannya pada musim 2011-12.
Pemain Argentina itu memiliki enam sumbangan gol dalam sembilan penampilan Piala FA bersama Chelsea.
City buru rekod baharu
Manchester City memburu gelaran kelapan Piala FA yang akan menyamai rekod Chelsea, Liverpool dan Tottenham.
Kemenangan juga akan memberikan City 17 trofi domestik utama sekali gus mengatasi Arsenal (16) dan hanya dibezakan Manchester United (19) serta Liverpool (18).
City kini tampil pada final Piala FA buat musim keempat berturut-turut, namun turut berdepan risiko mencipta rekod buruk.
Selepas tewas kepada Manchester United dan Crystal Palace dalam dua final terdahulu, City boleh menjadi pasukan kedua dalam sejarah tewas tiga final berturut-turut selepas Chelsea antara 2020 hingga 2022.
Ia juga kunjungan ke-34 City ke Wembley sejak 2011 dengan rekod 22 kemenangan dan 11 kekalahan.
Guardiola mahu lakar sejarah
Guardiola sudah memenangi 28 daripada 38 final sepanjang kariernya bersama Barcelona, Bayern Munich dan City.
Bersama City, beliau menang 13 daripada 19 final termasuk lima Piala Liga, dua Piala FA dan Liga Juara-Juara.
Pengendali warga Sepanyol itu boleh menjadi pengurus kelapan memenangi Piala FA sekurang-kurangnya tiga kali dan kedua dalam sejarah England memenangi Piala FA serta Piala Liga sekurang-kurangnya tiga kali selepas Alex Ferguson.
Guardiola juga boleh menjadi pengurus pertama memenangi gelaran berganda domestik sebanyak dua kali selepas melakukannya pada musim 2018-19.
Haaland sedia tamatkan kemarau final
Erling Haaland sudah menjaringkan 161 gol dan mencipta 29 bantuan jaringan dalam 196 perlawanan bersama City.
Namun penyerang Norway itu masih gagal menjaringkan gol atau mencipta bantuan jaringan dalam 15 aksi separuh akhir dan final bersama City termasuk sembilan final.
Daripada 15 perlawanan itu, Haaland melakukan 25 percubaan dengan 12 tepat ke sasaran dan mensia-siakan 10 peluang terbaik.
Wembley juga menjadi satu-satunya stadium yang sudah dikunjunginya lebih dua kali bersama City tanpa sebarang gol.
Bagaimanapun, rekod Haaland menentang Chelsea cukup baik apabila terbabit dalam lapan gol daripada lapan perlawanan hasil lima gol dan tiga bantuan jaringan.
Dia juga mengumpul 12 gol dan satu bantuan jaringan dalam 13 aksi Piala FA termasuk hatrik ketika menentang Liverpool di suku akhir.
O’Reilly dan Doku turut jadi perhatian
Nico O’Reilly yang menjaringkan dua gol pada final Piala Liga menentang Arsenal boleh menjadi pemain keempat menjaringkan gol dalam final Piala Liga dan Piala FA pada musim sama.
Jeremy Doku pula sudah mencatat lapan sumbangan gol dalam dua musim terakhir Piala FA hasil tiga gol dan lima bantuan jaringan. – AGENSI

