Faktor ‘kurang kepercayaan’ halang rundingan damai Iran-AS – Menteri Luar Iran

TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan kurang kepercayaan AS terhadap republik Islam itu masih menjadi penghalang terbesar dalam usaha menamatkan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata, rundingan damai hanya boleh diteruskan sekiranya AS benar-benar bersedia mencapai “perjanjian yang adil dan seimbang”.

“Kami masih ragu-ragu terhadap kesungguhan mereka,” katanya kepada media di New Delhi, India.

Araghchi turut berkata, Iran terbuka menerima bantuan diplomatik daripada negara lain, khususnya China, bagi membantu meredakan ketegangan di Asia Barat.

Katanya, Beijing sebelum ini memainkan peranan penting dalam membantu memulihkan hubungan diplomatik antara Iran dan Arab Saudi.

Pada masa sama, beliau mengakui isu simpanan uranium yang diperkayakan Iran menjadi antara perkara paling rumit dalam rundingan dengan AS.

Russia sebelum ini menawarkan untuk mengambil simpanan uranium berkenaan sekiranya Iran bersedia melepaskannya, namun Araghchi berkata, cadangan itu belum dibincangkan secara aktif ketika ini.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini menolak cadangan terbaru pelan rundingan damai Iran dengan menyifatkannya sebagai “sampah”, walaupun Tehran dikatakan menawarkan beberapa konsesi berkaitan program nuklearnya.

Trump menegaskan AS mahu uranium diperkayakan yang dikeluarkan Iran dan menghalang negara itu daripada membangunkan senjata nuklear, manakala Tehran berulang kali menegaskan program nuklearnya hanya untuk tujuan keamanan.

Sementara itu, Pakistan terus memainkan peranan sebagai orang tengah dalam usaha meredakan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) apabila Menteri Dalam Negerinya, Mohsin Naqvi, tiba di sini, semalam, bagi lawatan rasmi selama dua hari, bermula semalam.

Media Iran melaporkan lawatan itu bertujuan “memudah cara” rundingan damai antara Tehran dan AS yang masih menemui jalan buntu meskipun gencatan senjata rapuh berkuat kuasa sejak 8 April lalu.

Agensi berita Tasnim melaporkan, kehadiran Naqvi adalah sebahagian usaha berterusan Islamabad untuk menggalakkan keamanan serantau, selain meneruskan peranan Pakistan sebagai pengantara dalam rundingan kedua-dua negara.

Naqvi disambut Menteri Dalam Negeri Iran, Eskandar Momeni, beberapa hari selepas panglima tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir, turut mengadakan lawatan ke Tehran.

Pakistan sebelum ini menjadi tuan rumah kepada mesyuarat penting membabitkan delegasi Iran dan AS dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik yang tercetus susulan serangan tentera AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Araghchi, berkata Tehran menerima mesej daripada Washington yang menunjukkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump bersedia meneruskan rundingan.

Ketua perunding Iran yang juga Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf, pula memberi amaran bahawa AS perlu menerima cadangan damai Tehran atau berdepan “kegagalan”.

Katanya, tiada pilihan selain menghormati hak rakyat Iran seperti digariskan dalam cadangan damai 14 perkara yang dikemukakan Tehran.

“Pendekatan lain tidak akan membuahkan hasil dan hanya membawa kepada kegagalan demi kegagalan,” katanya. – AFP