Menjawab Kekeliruan PEMBELA: KPT Tidak Merendahkan Tahfiz

Naib Pengerusi (Normalisasi & Doktrinisasi) Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Mohd Nor Izzat b. Hj Mohd Johari, dalam kenyataan medianya dua hari lalu meminta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman, menarik balik kenyataan atau memohon maaf kerana didakwa telah melakarkan persepsi seolah-olah institusi tahfiz dan pelajarnya selama ini tidak mempunyai laluan pendidikan yang tersusun ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau menegaskan bahawa lakaran tersebut bukan sahaja tidak tepat, bahkan mengelirukan, merendahkan usaha institusi tahfiz serta menafikan realiti sebenar pembangunan pendidikan Islam di negara ini. Dakwa beliau, institusi tahfiz di Malaysia sejak sekian lama telah melakukan penyesuaian dan integrasi secara berperingkat dengan sistem pendidikan nasional melalui pelaksanaan program intervensi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIM) serta pelbagai institusi pendidikan berdaftar.

Bagaimanapun, Haji Mohd Nor Izzat sepatutnya lebih berhati-hati dan tidak terlalu terburu-buru membuat tuduhan terhadap Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi sebelum meneliti keseluruhan konteks kenyataan dan realiti pendidikan tahfiz di negara ini secara lebih menyeluruh.

Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Bin Haji Othman
Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Bin Haji Othman

Dalam isu dasar pendidikan, lebih-lebih lagi yang melibatkan masa depan pelajar tahfiz dan IPTA, pendekatan yang lebih berasaskan data, kajian lapangan dan realiti sebenar institusi pendidikan adalah jauh lebih penting daripada persepsi politik atau reaksi emosional.

Jika diteliti kenyataan asal Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), maksud sebenar kerajaan bukanlah untuk menggambarkan bahawa semua institusi tahfiz tidak tersusun atau tidak mempunyai laluan pendidikan, tetapi untuk menjelaskan bahawa terdapat sebahagian institusi tahfiz yang berada di luar Sistem Pendidikan Kebangsaan, khususnya yang tidak mengikuti Kurikulum Kebangsaan sepenuhnya.

Di sinilah pentingnya penjelasan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, bekas Ketua Pengarah Pendidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Dalam kenyataan beliau kepada akhbar Berita Harian hari ini, beliau menjelaskan bahawa terdapat hampir 700,000 murid dalam aliran agama berada di luar sistem Kementerian Pendidikan, dengan kira-kira 50,000 murid mengikuti pengajian di sekolah tahfiz swasta, termasuk institusi pondok yang diasaskan oleh orang perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Daripada jumlah itu, ada antara mereka tidak menduduki SPM kerana tumpuan diberikan kepada hafazan al-Quran.

Ini bermakna isu yang dibangkitkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sememangnya mempunyai asas yang jelas. Masih terdapat banyak sekolah tahfiz, khususnya tahfiz swasta dan pondok persendirian, yang selama ini berada di luar laluan arus perdana ke IPTA kerana pelajarnya tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau tidak memenuhi syarat minimum kemasukan universiti awam.

Justeru, kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi sama sekali tidak boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap institusi tahfiz. Sebaliknya, kenyataan tersebut jelas bertujuan membuka laluan dan memberikan ruang kepada lebih ramai pelajar daripada aliran tahfiz serta pendidikan agama untuk melanjutkan pengajian ke IPTA secara lebih tersusun dan teratur.

Malah, apabila rakaman penuh sidang media beliau diteliti semula secara menyeluruh, tidak terdapat langsung mana-mana kenyataan yang menghina aliran agama mahupun sekolah tahfiz. Sebaliknya, beliau hanya menjelaskan bahawa sekiranya terdapat pelajar daripada aliran tersebut yang ingin menyambung pengajian ke IPTA, kerajaan kini menyediakan satu laluan bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan tinggi awam.

Dakwaan bahawa KPT “mempergunakan tahfiz” untuk mengabsahkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) juga tidak benar. Kedua-dua kategori itu disebut sebagai lepasan di luar Sistem Pendidikan Kebangsaan tetapi laluan mereka tidak sama. Bagi lepasan tahfiz, program yang dikenal pasti ialah Diploma Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz dan Sarjana Muda Pengajian Islam. Bagi lepasan SMPC/UEC pula, program yang dikenal pasti ialah bidang Bahasa Cina, Linguistik Cina dan Pendidikan Bahasa Cina. Ini menunjukkan laluan yang disediakan adalah terhad, bersasar dan mengikut kesesuaian latar belakang akademik masing-masing.

Lebih penting, KPT menegaskan bahawa semua calon tetap wajib mempunyai kelayakan institusi masing-masing bersama syarat sekurang-kurangnya kepujian Bahasa Melayu dan lulus Sejarah dalam SPM. Ini menjawab kebimbangan PEMBELA bahawa Bahasa Melayu, Sejarah dan sistem pendidikan kebangsaan akan dilemahkan. Hakikatnya, syarat itu bukan sahaja dikekalkan, malah dijadikan asas wajib kepada semua calon luar sistem, termasuk lulusan sekolah tahfiz dan UEC.

Benar apa yang disebut oleh Presiden Persatuan Maahad Tahfiz Malaysia (Permata al-Quran), Manolito Mohd Dahlan, dalam akhbar Sinar Harian hari ini bahawa banyak institusi tahfiz yang sudah lama mengamalkan keperluan menduduki SPM. Ramai pelajar tahfiz juga sudah berjaya menyambung pengajian dalam pelbagai bidang seperti perubatan, undang-undang, teknologi maklumat dan kejuruteraan. Namun realiti ini tidak menafikan satu lagi realiti penting, iaitu masih terdapat ribuan pelajar sekolah tahfiz swasta dan pondok persendirian yang tidak melalui laluan SPM secara penuh dan akhirnya terhalang daripada memasuki IPTA.

Jadi, kedua-dua perkara adalah benar pada masa yang sama. Banyak sekolah tahfiz yang sudah berintegrasi dengan sistem pendidikan negara tetapi masih banyak juga sekolah tahfiz yang berada di luar sistem formal IPTA dan memerlukan laluan yang teratur. Di sinilah keputusan kerajaan menjadi relevan.

Malah, langkah KPT ini sebenarnya menguntungkan pelajar tahfiz. Ia tidak menghapuskan SPM, tidak merendahkan standard IPTA dan tidak memberikan kemasukan automatik. Sebaliknya, ia membuka laluan bersyarat kepada pelajar yang mempunyai kekuatan dalam hafazan dan pengajian agama, tetapi masih perlu memenuhi syarat asas kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.

Dari sudut pendidikan, pendekatan ini lebih adil. Negara tidak wajar membiarkan pelajar tahfiz yang berbakat terus terpinggir hanya kerana struktur pendidikan mereka tidak sepenuhnya selari dengan arus perdana. Pada masa yang sama, negara juga tidak boleh mengabaikan kepentingan Bahasa Melayu, Sejarah, meritokrasi dan kuasa Senat universiti. KPT cuba mengimbangi kedua-duanya.

Oleh itu, tuntutan PEMBELA supaya Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi menarik balik kenyataan atau memohon maaf adalah keterlaluan. Sebaliknya, PEMBELA sendiri yang perlu lebih berhati-hati agar tidak membentuk persepsi yang tidak tepat terhadap dasar kerajaan tanpa penelitian menyeluruh terhadap fakta dan data sebenar pendidikan tahfiz negara.

Ini adalah usaha KPT membina jambatan pendidikan untuk kelompok pelajar yang selama ini berada di pinggir sistem. Dalam konteks tahfiz, ia boleh membantu lebih ramai huffaz melanjutkan pengajian dalam bidang al-Quran, dakwah, pendidikan Islam dan pengajian Islam secara lebih tersusun. Inilah pendekatan yang lebih inklusif, realistik dan selaras dengan keperluan negara.

Sebelum menuduh kononnya KPT memperkecilkan institusi tahfiz, PEMBELA sepatutnya terlebih dahulu turun meninjau sendiri keadaan sekolah-sekolah tahfiz swasta, pondok tradisional dan institusi kecil persendirian di seluruh negara yang masih bergelut dengan isu integrasi akademik, peperiksaan awam dan laluan pendidikan tinggi.

Malah, dalam semangat keterbukaan dan kejujuran, adalah lebih baik jika sekolah-sekolah tahfiz yang selama ini berada di luar sistem pendidikan rasmi tampil bersuara sendiri bagi menjelaskan realiti sebenar yang mereka hadapi.

Suara mereka penting supaya masyarakat dapat memahami bahawa landskap pendidikan tahfiz di Malaysia bukan bersifat seragam. Ada institusi tahfiz yang sudah sangat maju dan berjaya mengintegrasikan SPM serta melahirkan pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang profesional. Tetapi pada masa sama, masih ada institusi tahfiz dan pondok persendirian yang menghadapi kekangan besar dari sudut kurikulum, peperiksaan dan akses ke IPTA.

Mengakui kewujudan cabaran ini bukan bermaksud merendahkan pendidikan tahfiz. Sebaliknya, ia adalah langkah penting untuk memperkukuhkan lagi ekosistem pendidikan Islam negara supaya lebih ramai huffaz dan pelajar tahfiz mempunyai masa depan pendidikan tinggi yang lebih tersusun dan inklusif.

Penulis ialah Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia