ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga Pakistan dipercayai bertindak sebagai ‘transpoter’ ditahan bersama 735 botol dan tin minuman keras dipercayai diseludup di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Pegoh, di sini, awal pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, berkata tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Alor Gajah ketika menjalankan Op Motosikal di Lebuh AMJ Pegoh, kira-kira jam 1.45 pagi.
Katanya, kenderaan jenis Toyota Altis dipandu warga Pakistan itu ditahan selepas dipandu dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan menghala ke bandar Melaka.
“Hasil pemeriksaan polis menemui 495 botol dan 240 tin arak pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai yang diletakkan dalam kotak di tempat duduk belakang dan dalam bonet kereta.
“Pemandu lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun itu turut ditahan dan keretanya dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kini direman 14 hari bermula semalam hingga 29 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

