Presiden Indonesia akui program makanan percuma berdepan pelbagai masalah

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, akhirnya mengakui program makanan berkhasiat percuma kepada pelajar sekolah bagi menangani isu kekurangan nutrisi berdepan pelbagai masalah sejak ia dilaksanakan Januari tahun lalu.

Program bernilai berbilion dolar itu dilapor menyebabkan ribuan pelajar sekolah sakit, menyebabkan ramai pihak berulang kali menggesa program cetusan Probowo itu digantung berikutan kebimbangan terhadap aspek kebersihan dan dakwaan rasuah.

“Memang benar terdapat banyak masalah dan cabaran. Program makanan berkhasiat percuma ini mempunyai banyak kelemahan dan kita perlu memperbetulkannya,” kata Prabowo dalam ucapan di Jawa Timur yang dimuat naik menerusi saluran YouTube rasminya, semalam.

Setakat Mac lalu, lebih 61 juta rakyat menerima manfaat menerusi program berkenaan setakat Mac lalu.

Bagaimanapun, skim bantuan itu adalah antara program yang terkesan susulan langkah penjimatan kerajaan bagi mengurangkan impak ekonomi akibat perang di Asia Barat.

Kerajaan Indonesia terpaksa mengurangkan pelaksanaan program itu kepada lima hari seminggu bermula Mac lalu, berbanding enam hari seminggu bagi menjimatkan sehingga 40 trilion rupiah (RM11.2 bilion).

Dalam perkembangan berkaitan, badan pemantau antirasuah Indonesia Corruption Watch (ICW), dilapor memfailkan aduan terhadap Ketua Agensi Pemakanan Nasional, Dadan Hindayana, yang bertanggungjawab mengendalikan pengagihan makanan percuma berkenaan.

ICW mendakwa wujud percanggahan hampir AS$50 juta (kira-kira RM197.6 juta) dalam peruntukan pemerolehan pensijilan halal program berkenaan.

Mengulas dakwaan itu, Prabowo memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa.

“Mana-mana individu yang melanggar peraturan, menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa akan dikenakan tindakan tegas dan disingkirkan daripada jawatan,” katanya.

Lebih 20 peratus kanak-kanak di Indonesia dilaporkan mengalami masalah bantut akibat kekurangan zat makanan serius.

Kerajaan Indonesia menyasarkan sekurang-kurangnya 82.9 juta rakyat, bersamaan hampir satu pertiga populasi negara itu, menerima manfaat menerusi program berkenaan dalam usaha memperkukuh jaminan makanan negara. – AFP