JOHOR BAHRU: Keputusan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Johor yang mahu bertanding semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan menjejaskan kerjasama kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kedua-dua parti di peringkat negeri telah mengumumkan keputusan dan pandangan masing-masing, namun ruang rundingan masih boleh dibuka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
“Kita tunggu dan dengar pandangan pimpinan utama PH petang nanti. Adakah ia akan memberi kesan kepada kerjasama dalam kerajaan Persekutuan? Tidak,” katanya ketika mengulas pengumuman BN dan PH Johor yang mahu bertanding semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Terdahulu, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan mengumumkan gabungan itu bakal bertanding semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang, yang diputuskan selepas Pengerusi BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam memberi kata putus BN akan bertanding semua kerusi DUN.
Semalam, Onn Hafiz dilaporkan berkata, keputusan untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN dibuat selepas mengambil maklum pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang PRN.PlayNextMute
Pada PRN 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN, PH (12), Perikatan Nasional (3) dan MUDA (1).
Konvensyen PH yang berlangsung hari ini dilihat menjadi pentas penting dalam menentukan hala tuju gabungan itu, termasuk persediaan menghadapi kemungkinan PRN Johor dan Melaka tahun ini.
Menjelaskan demikian pada sidang media di Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini, beliau yang juga Pengarah Konvensyen PH 2026 menyifatkan konvensyen kali ini sebagai luar biasa.
Jelasnya, program berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Setakat tengah hari, pendaftaran melebihi 5,000 orang, manakala jumlah kehadiran dianggarkan lebih 8,000 orang. Ada yang tidak mendaftar, ada juga yang berada di luar dewan, tetapi kehadiran amat menggalakkan dan luar biasa,” katanya.
Fahmi berkata demikian semasa sidang media di Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

