LANGKAH Tentera Darat Malaysia (TDM) melonggarkan beberapa syarat pengambilan anggota baharu seperti menaikkan had umur daripada 27 kepada 30 tahun serta menurunkan syarat ketinggian minimum kepada 1.57 meter memperlihatkan kesediaan institusi pertahanan negara menyesuaikan diri dengan realiti semasa.
Dalam dunia ketenteraan moden yang semakin kompleks, kekuatan sesebuah angkatan tidak lagi boleh diukur semata-mata berdasarkan faktor fizikal tradisional, sebaliknya perlu mengambil kira kepakaran, kemahiran teknikal, ketahanan mental dan keupayaan menyesuaikan diri dengan cabaran baharu termasuk peperangan siber, teknologi dron serta operasi berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI).
Hakikatnya, banyak negara dengan kekuatan ketenteraan utama dunia melakukan perubahan hampir sama. Amerika Syarikat (AS) misalnya menaikkan had usia maksimum warganya boleh diambil berkhidmat daripada 35 hingga 42 tahun untuk memperluas kumpulan calon layak susulan cabaran pengambilan rekrut beberapa tahun, manakala United Kingdom (UK) menekankan kemahiran teknikal serta kebolehan khusus selain syarat fizikal asas.
Singapura pula mengubah pendekatan ketenteraan kepada model lebih fleksibels, tepat dan berasaskan fungsi sebenar anggota serta memperkenal klasifikasi perubatan baharu untuk rekrut yang lebih terperinci berdasarkan tahap kesesuaian untuk berkhidmat, pengecualian perubatan spesifik dan jenis latihan atau vokasi sesuai dengan kemampuan.

Dalam konteks Malaysia, langkah TDM ini perlu dilihat sebagai usaha memperluas peluang kepada rakyat untuk berbakti kepada negara. Tidak semua individu memiliki semangat patriotik dan kemampuan tinggi memenuhi syarat fizikal lama, termasuk dari aspek ketinggian atau penggunaan cermin mata. Realitinya dalam dunia hari ini, ramai anak muda mempunyai kemahiran penting seperti teknologi maklumat, kejuruteraan, komunikasi, pengendalian sistem tanpa pemandu dan keselamatan siber yang amat diperlukan angkatan tentera.
Bagaimanapun, perubahan syarat ini tidak bermakna standard profesionalisme ketenteraan boleh dikurangkan, sebaliknya apa yang lebih penting adalah proses latihan itu sendiri. Kita bersetuju dengan penegasan TDM bahawa latihan akan terus menekankan pembinaan jati diri ketenteraan, ketahanan fizikal dan mental, disiplin, keyakinan diri serta kompetensi profesional adalah perkara paling utama. Ini kerana tentera bukan sekadar pekerjaan biasa, tetapi institusi menuntut pengorbanan, kepatuhan dan kesiapsiagaan tinggi dalam mempertahankan negara.
Pada masa sama, kita berpandangan beberapa penambahbaikan lain juga boleh dipertimbangkan bagi menarik lebih ramai rakyat berkualiti menyertai ATM. Antaranya memperkukuh laluan kerjaya teknikal dan kepakaran, memperluas kerjasama dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan universiti, selain memperkenalkan skim latihan atau biasiswa khusus dalam bidang strategik seperti keselamatan siber, AI dan teknologi pertahanan. Kebajikan anggota serta prospek selepas persaraan juga perlu terus diperkasa supaya kerjaya tentera kekal kompetitif dan dihormati.
Hakikatnya, kekuatan sesebuah angkatan tentera tidak hanya bergantung kepada jumlah aset atau kecanggihan persenjataan, tetapi juga kualiti modal insan dimiliki. Dalam suasana geopolitik serantau semakin mencabar, Malaysia memerlukan angkatan tentera profesional, moden dan inklusif tanpa berkompromi terhadap disiplin serta integriti. Langkah TDM ini wajar dilihat sebahagian proses penyesuaian strategik bagi memastikan lebih ramai rakyat berpotensi diberikan ruang menyumbang kepada pertahanan negara.

