ALOR GAJAH: Gara-gara tiada wang membayar tambang e-hailing, sekumpulan remaja termasuk dua perempuan didakwa sanggup mencederakan seorang pemandu wanita dalam kejadian di Kuala Sungai Baru, awal bulan ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 4 Mei lalu, mangsa berusia 41 tahun mengalami lebam dan bengkak pada beberapa bahagian badan selain kesan jerutan di leher selepas dipercayai diserang kumpulan terbabit.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, berkata sebelum kejadian mangsa menerima tempahan menerusi aplikasi Grab untuk mengambil empat penumpang di kawasan Bukit Rambai sebelum menghantar mereka ke Pekan Kuala Sungai Baru.
Menurutnya, kumpulan itu terdiri daripada dua remaja perempuan berusia 14 tahun serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 17 tahun, dengan seorang daripada suspek masih bersekolah.
“Setibanya di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu menunggu seseorang memasukkan wang ke akaunnya secara dalam talian.
“Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga sebelum bertindak merakam keadaan menggunakan telefon bimbit sebelum kesemua suspek masuk semula ke dalam kereta,” katanya ketika dihubungi di sini. hari ini.
Beliau berkata, suasana kemudian bertukar cemas apabila tiga daripada suspek tiba-tiba bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan objek keras selain menjerut leher wanita itu menggunakan kain dari belakang tempat duduk pemandu.
Menurutnya, ketika kejadian seorang suspek lelaki berusia 15 tahun tidak masuk semula ke dalam kereta kerana melarikan diri.
Katanya, mangsa turut diugut supaya tidak melawan atau meminta bantuan, namun berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis.
“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan pada hidung, leher serta kedua-dua tangan akibat pergelutan.
“Kesemua empat suspek telah ditahan dan direman sehingga esok sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

