WASHINGTON: Insiden tembakan dan serangan terbaru yang menyasarkan sebuah masjid di San Diego pada Isnin lalu, kembali mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli agama dan jemaah di AS.
Berikut adalah beberapa serangan ke atas rumah ibadat di AS dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini:
18 Mei 2026: Dua suspek remaja melepaskan tembakan di masjid terbesar di Daerah San Diego mengorbankan seorang pengawal keselamatan dan dua lelaki lain sebelum kedua-dua suspek membunuh diri. Kes berkenaan kini disiasat sebagai jenayah kebencian.
12 Mac 2026: Seorang lelaki bersenjata merempuh rumah ibadat Yahudi, Temple Israel, di Detroit menggunakan trak pikapnya dan kemudian membunuh diri ketika berbalas tembakan dengan pihak keselamatan.
Penembak berusia 41 tahun itu dilaporkan baru sahaja kehilangan empat ahli keluarganya dalam serangan udara Israel di Lubnan. Pihak berkuasa Israel mendakwa beberapa ahli keluarganya adalah anggota kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.
29 September 2025: Empat terkorban manakala sembilan lagi cedera apabila seorang lelaki merempuh Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints di Perbandaran Grand Blanc, di Michigan menggunakan trak pikapnya dan membakar gereja berkenaan.
Penembak berusia 40 tahun itu maut ditembak oleh pasukan penguatkuasa undang-undang yang bertindak balas di lokasi. Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendakwa suspek mempunyai kepercayaan anti-agama terhadap komuniti agama Mormon.
27 Ogos 2025: Dua kanak-kanak terkorban manakala beberapa yang lain cedera dalam insiden tembakan ketika upacara Mass di Gereja Annunciation di Minneapolis.
Menurut pihak berkuasa, penembak terbabit yang juga bekas pelajar di sekolah kariah gereja berkenaan, disahkan maut akibat tembakan yang dilepaskan sendiri.
27 Oktober 2018: Seramai 11 penganut Yahudi maut ditembak ketika menghadiri upacara keagamaan di rumah ibadat Tree of Life di Pittsburgh oleh seorang lelaki kulit putih yang taksub dengan fahaman pelampau (white supremacist) serta antisemitik.
Penembak terbabit kini berdepan hukuman mati selepas disabitkan kesalahan atas pelbagai pertuduhan.
5 November 2017: Perselisihan faham keluarga dipercayai menjadi punca insiden tembakan besar-besaran dalam sejarah moden Texas yang mengorbankan 25 nyawa termasuk seorang wanita hamil di Gereja First Baptist.
17 Jun 2015: Seorang lelaki kulit putih pelampau menjadi individu pertama di AS dihukum mati atas kesalahan jenayah kebencian selepas membunuh sembilan orang di Charleston, South Carolina.
Dalam kejadian itu, suspek berpura-pura menyertai sesi pengajian Bible di Gereja Emanuel African Methodist Episcopal sebelum melepaskan tembakan yang turut mengorbankan pastor, Clementa Pinckney.
5 Ogos 2012: Enam maut di Rumah Ibadat Sikh Wisconsin di bandar Oak Creek selepas ditembak oleh seorang lelaki kulit putih pelampau berusia 41 tahun yang pernah menyuarakan mengenai perang suci perkauman.
Seorang daripada mangsa yang cedera meninggal dunia pada tahun 2020 akibat kecederaan di kepala, menjadikan jumlah korban keseluruhan seramai tujuh orang. – AGENSI

