Tiada duit bayar tambang, dua remaja perempuan antara 4 ditahan belasah pemandu Grab

ALOR GAJAH – Seorang pemandu e-hailing wanita cedera selepas dibelasah sekumpulan remaja termasuk dua perempuan berusia 14 tahun di Kuala Sungai Baru, di sini Khamis lalu kerana tiada wang untuk membayar tambang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam 14 Mei lalu, mangsa berusia 41 tahun, lebam dan bengkak di kepala, badan, kaki dan tangan selain kesan jerutan di leher selepas diserang tiga daripada empat suspek.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku apabila mangsa mengambil empat penumpang termasuk seorang pelajar sekolah.

Mereka terdiri daripada dua remaja perempuan berusia 14 tahun dan dua rakan lelakinya berusia 15 dan 17 tahun di kawasan Bukit Rambai.

“Kesemua suspek mahu ke Pekan Kuala Sungai Baru dan membuat tempahan perjalanan melalui aplikasi Grab sehingga tiba di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru.

“Salah seorang remaja berkenaan kemudian meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang kerana tiada wang untuk membuat bayaran secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Ahmad berkata, selang beberapa minit kemudian, tiga daripada empat kecuali remaja lelaki 15 tahun kembali ke kereta dan bertindak agresif dengan menyerang mangsa menggunakan objek keras.

“Suspek perempuan dipercayai bertindak memukul mangsa menggunakan batang besi manakala suspek pelajar sekolah menarik rambut mangsa sementara remaja lelaki berusia 17 tahun menjerut leher pengadu dari belakang.

“Seorang lagi suspek lelaki berusia 15 tahun melarikan diri jauh daripada tempat kejadian dan tidak masuk ke dalam kereta,” tambahnya.

Jelasnya lagi dalam pergelutan itu, mangsa akhirnya berjaya menyelamatkan diri dengan memandu dari lokasi kejadian sebelum tampil membuat laporan polis.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami bengkak dan lebam di beberapa bahagian badan selain kesan jerutan pada leher.

“Susulan itu, pihak polis berjaya menangkap kesemua remaja berkenaan pada petang 14 Mei lalu dan direman sehingga esok sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah atau pegawai penyiasat, Sarjan Harith Francis Nuang Anak Agan.

“Ibu bapa dinasihati sentiasa memantau pergerakan anak-anak remaja agar tidak terlibat dalam sebaga gejala tidak sihat yang boleh merosakkan masa depan mereka,” tegasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya. – MalaysiaGazette