Hampir 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik, penderitaan sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling akhirnya mendapat perhatian selepas tindakan berani mereka menahan konvoi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tular di media sosial.
Pengusaha warung dan bengkel motosikal, Muhammad Ramadhan Abd Hamid, 30, bersama isterinya, Nur Afiqah Malek, 32, serta anak lelaki mereka berusia lima tahun dilaporkan berdiri di tepi jalan seawal jam 6.30 pagi sambil memegang plakad bertulis “Ampun Tuanku Mohon Berhenti Sekejap”.
Mereka berharap dapat menarik perhatian Al-Sultan Abdullah yang dijadual melalui laluan tersebut bagi menghadiri majlis perasmian sebuah masjid.
Selepas lebih tiga jam menunggu, kenderaan baginda akhirnya berhenti sekitar jam 10 pagi, sekali gus memberi peluang kepada Muhammad Ramadhan menyampaikan sendiri masalah yang dihadapi keluarganya selama hampir 20 minit.
Lebih menggembirakan, pada hari sama sekitar jam 3.30 petang, keluarga berkenaan menerima panggilan daripada pihak kontraktor yang memaklumkan permohonan bekalan elektrik mereka akhirnya diluluskan.
Bagaimanapun, isu kelewatan hampir 13 tahun itu sebenarnya berpunca daripada beberapa kekangan melibatkan status tanah, faktor teknikal dan proses kelulusan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Haris Salleh Hamzah, rumah keluarga tersebut dibina di atas tanah kerajaan sejak lebih sedekad lalu, selain kedudukannya yang jauh daripada tiang elektrik sedia ada iaitu kira-kira satu kilometer.
Susulan itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan pemasangan sebanyak 33 batang tiang elektrik bagi membolehkan bekalan disalurkan ke rumah keluarga terbabit.
TNB berkata, kebenaran akhir diterima pada 17 Mei 2026 dan kerja penanaman tiang mula dijalankan pada 20 Mei 2026.
Bekalan elektrik rasmi ke rumah keluarga itu disasarkan mula disalurkan pada 24 Mei 2026.
Sumber : MalaysiaGazette

