‘Ramai pemilik premis gagal kosongkan tangki septik secara berjadual, tak endah notis dikeluarkan IWK’ – SPAN

KANGAR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendedahkan kesedaran orang ramai berhubung keperluan mengosongkan tangki septik secara berjadual masih pada tahap sangat membimbangkan.

Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop, berkata situasi itu terbukti apabila ribuan notis pemberitahuan yang dikeluarkan Indah Water Konsortium (IWK) selama ini tidak diendahkan pemilik premis.

Beliau berkata, bagi kategori domestik di Perlis, IWK mengeluarkan 8,520 notis kepada pemilik tangki septik individu, namun hanya 302 pemilik atau kira-kira 3.5 peratus saja yang mematuhinya.

“Bagi kategori komersial pula, daripada 1,209 notis dikeluarkan, hanya 22 penerima (1.8 peratus) yang melaksanakan proses pengosongan (nyah enap cemar) tangki mereka.

“Walaupun pihak IWK giat menjalankan libat urus bersama penduduk, ketua kampung, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO), namun kesedarannya masih amat rendah,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Mengejut (OPS Haruman) terhadap premis gagal menjalankan pengosongan tangki septik berjadual di sekitar Taman Kemajuan di sini, semalam.

Operasi selama tiga hari berakhir hari ini, membabitkan pemeriksaan ke atas 205 premis di sekitar Kangar iaitu 74 premis komersial dan 131 premis domestik.

Sehingga tahun lalu, terdapat lebih 1.38 juta tangki septik individu direkodkan di Semenanjung Malaysia dan Labuan, dengan 20,063 daripadanya di Perlis.

Ainal Yusman berkata, lebih mengejutkan, terdapat pemilik kediaman mengaku tidak pernah melakukan kerja pengosongan tangki septik di rumah mereka sejak didiami pada era 1980-an.

“Ramai beranggapan selagi sistem tandas mereka tidak tersumbat, ia tidak mendatangkan masalah sedangkan mereka tidak tahu tangki septik itu sudah hilang keupayaan untuk merawat air kumbahan.

“Kesannya, air kumbahan yang tidak terawat ini akan terus melimpah keluar ke longkang, sekali gus mencemarkan sumber air, mengeluarkan bau busuk dan menyebabkan kacau ganggu kepada jiran sekeliling,” katanya.

Menjelaskan mengenai peruntukan undang-undang, beliau berkata, kekerapan pengosongan tangki septik mengikut Peraturan 2(1) Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) (Pindaan) 2023, ditetapkan sekali setiap dua tahun bagi premis dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tiga tahun sekali bagi premis di luar kawasan PBT.

Katanya, pemilik tangki septik yang gagal menyenggara dan melantik pemegang lesen atau permit untuk menjalankan kerja itu adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 65(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

“Mengikut Seksyen 66(1)(a) akta sama, pemilik yang membiarkan sistem pembetungan persendirian berada dalam keadaan kotor sehingga menjadi kacau ganggu atau berbahaya kepada kesihatan juga boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya.

“Justeru, kita meminta semua pemilik premis memberi kerjasama mematuhi notis dikeluarkan bagi menjamin kebersihan alam sekitar dan kelestarian sistem pembetungan negara,” katanya.