Syahir tekad bangkit dalam regu berpasukan

KUALA LUMPUR: Tekong utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi bertekad menjadikan kegagalan mempertahankan kejuaraan acara regu sebagai pembakar semangat untuk bangkit dalam acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 di Stadium Titiwangsa.

Syahir berkata, skuad negara tidak boleh lagi mengulangi kesilapan sama terutama daripada aspek momentum permainan yang dilihat agak perlahan sejak awal aksi sebelum ini.

Menurutnya, barisan pemain perlu tampil lebih agresif dan memastikan rentak permainan bermula sebaik wisel pertama ditiup.

“Kami mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam acara regu.

“Kami perlu perbaiki momentum dan lakukan sehabis baik selepas ini,” kata Syahir.

Syahir menegaskan acara regu berpasukan cukup penting buat skuad negara dan mereka kini meletakkan sasaran wajib untuk mara ke final.

“Acara berpasukan adalah acara yang sangat penting dan menjadi teras dalam sepak takraw, nak tak nak, kami wajib menyasarkan slot ke pentas final,” katanya.

Menurut Syahir, antara pengajaran terbesar daripada kekalahan lalu adalah kelewatan pemain mendapatkan rentak permainan sehingga memberi ruang kepada lawan menguasai aksi.

“Momentum kami agak perlahan dan kami perlu pastikan ia bermula dari awal permainan lagi.

“Sebelum ini kami agak lambat dapat rentak dan selepas ini kami perlu tampil lebih agresif,” tambahnya.

Pada masa sama, Syahir percaya kegagalan dalam acara regu turut mempunyai hikmah tersendiri buat pasukan negara.

“Apa yang berlaku ada hikmahnya. Ini petanda pemain perlu bersedia dari awal supaya dapat tampil lebih konsisten,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengakui Myanmar bakal menjadi pencabar utama Malaysia dalam saingan kumpulan.

Katanya, seluruh pemain perlu semangat untuk memastikan kemenangan bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.

“Kita akan berdepan Myanmar dan mereka adalah pencabar utama dalam kumpulan.

“Kita perlu tunjuk usaha dan kesungguhan untuk mencipta kemenangan seterusnya melayakkan diri ke separuh akhir,” kata Ahmad Jais.