SHAH ALAM: Pelajar Tingkatan Dua antara lapan lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan berhampiran sebuah sekolah menengah di Klang Selatan, dekat sini petang kelmarin.
Video insiden berdurasi 26 saat itu kemudian tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata polis yang menyiasat kejadian itu mendapati insiden berkenaan dipercayai pada kira-kira jam 6.50 petang.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan berjaya menangkap lapan lelaki tempatan berumur lingkungan 14 hingga 24 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.
“Hasil siasatan awal mendapati sebahagian yang ditahan masih berstatus pelajar sekolah, manakala selebihnya sudah tidak bersekolah. Motif pergaduhan dipercayai akibat selisih faham dan ejek-mengejek antara dua kumpulan remaja berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.PauseNextMute
Memaklumkan insiden berkenaan tidak membabitkan sebarang unsur kongsi gelap atau kumpulan gangsterisme, beliau berkata, permohonan reman ke atas semua yang ditahan akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan proses siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 26 saat memaparkan pergaduhan kumpulan berkenaan berhampiran sekolah menengah terbabit.

