KUALA LUMPUR – Tempah bilik di hotel mewah sebagai lokasi berhibur untuk kegiatan tidak bermoral dengan menganjurkan parti dadah dan parti gay berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, semalam.
Sebanyak empat siri serbuan telah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjem Kuala Lumpur (IPK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sekitar jam 2.35 pagi hingga 5 pagi.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan itu pihaknya telah menahan seramai 51 individu terdiri daripada 23 lelaki tempatan dan 28 lelaki warga asing yang berusia antara 21 hingga 52 tahun.
“Sebelum serbuan dijalankan, seorang lelaki disyaki terlibat dalam parti itu telah diusung ke lobi hotel berkenaan dalam keadaan tidak sedar diri lalu dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.
“Dalam serbuan itu, pelbagai jenis dadah dirampas membabitkan cecair MDMA dengan berat 1.15 kilogram (kg), serbuk MDMA (284 gram), pil ekstasi (8.56 gram), serbuk ekstasi (8.7 gram) dan ketamin (11.61 gram) dengan jumlah keseluruhan dadah dianggarkan RM103,070.00,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua mendapati, seramai 36 individu dikesan positif dadah manakala 15 lagi negatif dadah.
“Semakan rekod lampau mendapati, seorang daripada kesemua suspek yang ditahan mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Susulan itu, kesemua suspek kini direman antara tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Beliau berkata, kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 39A, Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes ini adalah hasil risikan berterusan JSJN dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah, memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah yang merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” jelasnya. – MalaysiaGazette

