KUALA LUMPUR – Dua lelaki cedera selepas sebuah lori membawa lima ekor lembu terbabas sebelum melanggar tiang papan tanda di Kilometer 297.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Kajang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 7.02 pagi.
Menurut beliau, kemalangan melibatkan sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 41 tahun.
“Siasatan awal mendapati, lori berkenaan dalam perjalanan dari Negeri Sembilan menuju ke Kelantan sebelum pemandu dipercayai hilang kawalan di lokasi kejadian lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang papan tanda lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu, pemandu mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri dan dada, manakala penumpang cedera di kepala.
Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kemalangan.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Insp Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan bersama. – MalaysiaGazette

