RIO DE JANEIRO: Persiapan Brazil ke Piala Dunia tergugat semalam apabila Neymar tidak menyertai sesi latihan pertama skuad kebangsaan selepas menjalani ujian perubatan, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai tempatnya dalam pasukan.
Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) mengesahkan penyerang berusia 34 tahun itu yang sedang pulih daripada kecederaan betis kanan tidak turun dalam sesi tertutup di pusat latihan Granja Comary, sebaliknya dihantar ke klinik swasta di Teresopolis untuk menjalani imbasan.
Dalam satu kenyataan, CBF memaklumkan “tiada maklumat lanjut akan dikeluarkan sehingga kakitangan perubatan pasukan kebangsaan melengkapkan penilaian mereka”, namun ketiadaan Neymar segera menjadi tumpuan utama kem latihan hari kedua Brazil.
Brazil akan mengharungi tiga sesi latihan lagi di Granja Comary sebelum perlawanan persahabatan menentang Panama di Maracana, Ahad ini.
Pengurus Carlo Ancelotti sudah pun kehilangan tiga pemain bagi perlawanan itu apabila pertahanan Gabriel Magalhaes dan Marquinhos serta penyerang Gabriel Martinelli terbabit pada final Liga Juara-Juara antara Arsenal dan Paris Saint-Germain.PlayNextMute
Panggilan semula Neymar minggu lalu mencetuskan keterujaan besar kerana dia tidak berada dalam perancangan Ancelotti sepanjang setahun kendalian jurulatih Itali itu.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol dalam 128 penampilan itu tidak beraksi bersama skuad kebangsaan sejak 2023.
Kepulangannya hadir di tengah-tengah persoalan mengenai tahap kecergasan dan prestasi selepas bergelut dengan kecederaan serta tempoh kurang memberangsangkan bersama Santos.
Situasi itu hadir pada waktu paling sensitif apabila selepas berdepan Panama, Brazil akan menentang Mesir di Cleveland sebelum membuka kempen Piala Dunia menentang juara Afrika, Maghribi pada 13 Jun di New Jersey.
Brazil dan Maghribi diundi dalam Kumpulan C bersama Haiti dan Scotland. – REUTERS

