Segerakan pelan perlindungan elak lebih ramai pekerja diberhentikan

Secara kasar, ekonomi dunia masih berada dalam keadaan stabil di sebalik konflik geopolitik, terutama di Asia Barat yang mendorong kenaikan kos bahan mentah, tenaga dan bahan api serta gangguan rantaian bekalan global.

Namun dari sudut domestik, perang di Iran sudah melewati lebih tiga bulan mula menekan ekonomi negara menyebabkan banyak syarikat berdepan cabaran untuk terus bertahan.

Dalam keadaan ini, golongan pekerja sering menjadi pihak paling terkesan apabila syarikat mula mengambil langkah penjimatan, termasuk mengecilkan operasi dan mengurangkan tenaga kerja.

Terkini, 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada Mac, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Akmal berkata, jumlah kehilangan pekerjaan pada April masih rendah berbanding 10,658 kes pada Januari dan 7,512 kes pada Februari.

Sebelum ini, lebih 24,000 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan dalam suku pertama tahun ini. Walaupun Jabatan Perangkaan melaporkan kadar pengangguran rasmi masih sekitar tiga peratus dan jumlah jawatan formal terus meningkat, ia tidak seharusnya membuat semua pihak terlalu selesa.

Sebagai negara perdagangan terbuka, Malaysia pasti menerima tempiasnya. Justeru, jika langkah persediaan tidak dilakukan sekarang, ramai pekerja berkemahiran rendah dan sederhana berisiko tercicir daripada pasaran kerja dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Krisis geopolitik amat mempengaruhi dasar fiskal kerajaan ketika ini, namun sebagai negara mengamal dasar perdagangan terbuka, tidak boleh hanya bergantung kepada angka pertumbuhan ekonomi semata-mata.

Fokus utama sekarang ialah memastikan rakyat terus mempunyai pekerjaan dan pendapatan stabil. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan sedang mengambil tindakan susulan dengan menyusun dan memperbaiki langkah pemulihan bagi membantu rakyat berdepan kehilangan pekerjaan dalam tempoh satu ke dua minggu lagi.

Berdasarkan pengalaman lalu, kerajaan mempunyai alternatif dan pelan bersesuaian seperti memperluas program latihan semula kemahiran terutama dalam bidang digital, teknologi, tenaga hijau serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Inisiatif khas juga diberikan kepada syarikat mengekalkan pekerja ketika ekonomi perlahan. Kerajaan juga sebelum ini menambah baik insentif bagi menggalak kemasukan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu mewujudkan pekerjaan bergaji bermaruah.

Dalam hal ini, majikan wajar lebih bertanggungjawab dan tidak menjadikan pemberhentian pekerja sebagai pilihan paling mudah setiap kali berlaku krisis global.

Enam bulan akan datang dijangka terus mencabar. Jika konflik geopolitik dunia berpanjangan dan harga tenaga terus meningkat, risiko kehilangan pekerjaan boleh menjadi lebih besar.

Kita masih mempunyai ruang untuk bertindak, tetapi perlu ada langkah berani dan menyeluruh dilaksanakan segera bagi mengelak lebih ramai pekerja hilang pekerjaan pada masa depan.

Foto hiasan.