NIAH: Seramai 138 penduduk daripada 31 keluarga hilang tempat tinggal selepas sebuah rumah panjang 21 pintu musnah dalam kebakaran di Jalan Sungai Saeh, Kampung Labau, Bekenu di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.17 pagi, Rumah Panjang Nelson Ningkan dilaporkan terbakar 100 peratus menyebabkan semua penghuni tinggal sehelai sepinggang.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan berkata mangsa yang terjejas terdiri daripada 51 lelaki dewasa, 52 wanita dewasa, lima warga emas lelaki, 10 warga emas wanita serta 20 kanak-kanak.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bersama bantuan BBP Miri Sentral digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

