KUANTAN: Polis Pahang akan merakam keterangan beberapa saksi kejadian bagi melengkapkan siasatan kes seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mendakwa ditampar seorang ahli politik di Janda Baik, Bentong, bulan lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata pihaknya telah menerima laporan kes itu daripada mangsa berusia 23 tahun pada jam 12.11 tengah hari Sabtu lalu, mendakwa insiden berlaku ketika menghadiri program anjuran institusi berkenaan pada 20 Mei.
“Hasil siasatan awal polis mendapati seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun yang juga ahli politik, dipercayai telah menampar pipi kiri mangsa di hadapan beberapa individu.
“Mangsa membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ahli politik itu. Mangsa tidak mengalami kecederaan serius,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Yahaya berkata, ahli politik itu turut tampil membuat laporan polis semalam kira-kira jam 7 malam.PlayNextMute
“Polis sudah merakam keterangan mangsa dan suspek, serta akan merakam keterangan beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Terdahulu, media melaporkan polis Kelantan menyerahkan kepada pasukan Pahang untuk menyiasat kes Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi mendakwa ditampar seorang bekas Senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik pada 20 Mei lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dipetik berkata pihaknya hanya menerima laporan daripada mangsa, namun siasatan lanjut dijalankan oleh pasukan Pahang.
Nik Alif Aiman adalah cucu bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

