Dua maut dalam nahas pesawat latihan tentera Taiwan

TAIPEI: Sebuah pesawat latihan tentera Taiwan terhempas ketika menjalani latihan simulasi kegagalan enjin, mengorbankan dua juruterbang yang berada di dalam pesawat itu, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan.

Pesawat jenis T-34 itu terhempas pada jam 8.08 pagi tadi di hujung utara landasan Pangkalan Udara Gangshan di bandar pelabuhan selatan pulau itu, Kaohsiung, kata kementerian berkenaan.

Tentera Udara Taiwan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat punca nahas terbabit. Kedua juruterbang itu hanya dikenal pasti melalui pangkat dan nama keluarga mereka, iaitu Leftenan Kolonel Lu dan Leftenan Kolonel Guo.

Jurucakap Tentera Udara enggan mengulas lanjut ketika dihubungi AFP.

Pada Januari lalu, sebuah pesawat pejuang F-16 terhempas ke laut di perairan timur Taiwan ketika menjalani misi latihan rutin.PauseNextMute

Juruterbang pesawat itu dipercayai sempat melompat keluar dari pesawat, namun sehingga kini masih belum ditemukan.