Lelaki lemas perahu karam

KUCHING: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya dalam perjalanan menyambut perayaan Hari Gawai di Nanga Balang Gaat, Kapit, karam petang Ahad lalu, ditemui lemas hari ini.

Mayat Spielberg Dylan anak Sekunyir, 32, ditemui penduduk kampung pada jam 7.10 pagi tadi.

Penemuan itu dimaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 8.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.28 pagi semalam.

Menurutnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 72 kilometer dari balai dan tiba pada jam 10.42 pagi.PauseNextMute

Berdasarkan maklumat daripada rakan mangsa yang turut menaiki perahu berkenaan, kejadian berlaku pada jam 6.15 petang, Ahad lalu, apabila perahu yang dinaiki mereka terlanggar batu di tengah sungai.

Dalam kejadian itu, enam individu berjaya menyelamatkan diri, manakala mangsa dipercayai dihanyutkan arus selepas dilihat berada kira-kira 50 meter dari lokasi perahu karam sebelum hilang daripada pandangan.

Sepanjang operasi SAR, pasukan bomba menjalankan pencarian dalam radius enam kilometer dari lokasi kejadian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dengan bantuan penduduk rumah panjang berhampiran.

Selain itu, operasi turut membabitkan pencarian di sepanjang tebing kiri dan kanan sungai bagi meningkatkan peluang mengesan mangsa.

Pasukan penyelamat menggunakan perahu yang disediakan oleh penduduk rumah panjang untuk menjalankan operasi berkenaan.