DUN Negeri Sembilan tak boleh dibubar serta-merta – Mohamed Khaled

KOTA TINGGI: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyifatkan kenyataan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan boleh dibubarkan serta-merta susulan pembubaran DUN Johor sebagai tidak mengambil kira proses perundangan dan perlembagaan negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, pembubaran DUN Negeri Sembilan tidak boleh dilakukan secara mudah kerana ia perlu melalui prosedur tertentu yang membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang Luak Yang Empat.

“Saya sebenarnya tak mahu jawab kerana mahu menjaga hubungan (dengan Kerajaan Perpaduan) tetapi hakikatnya ia tidak boleh berlaku begitu.

“Di Negeri Sembilan, seseorang tidak boleh bertindak sendiri. Perkara itu perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan baginda pula tidak boleh bertindak secara bersendirian kerana perlu bersama Empat Undang,” katanya pada program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang dilaporkan berkata Negeri Sembilan bersedia membubarkan DUN sekiranya Johor mengambil langkah berkenaan terlebih dahulu.PlayNextMute

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban itu sebelum ini dilaporkan berkata Negeri Sembilan boleh membubarkan DUN ‘esok’ jika Johor memulakan langkah berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata sebarang keputusan berkaitan pembubaran DUN Negeri Sembilan memerlukan persetujuan bersama Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak Yang Empat.

“Kalau empat Undang dan Yang di-Pertuan Besar bersetuju, maka bolehlah berlaku pembubaran. Tetapi jika tidak ada persetujuan itu, maka tidak akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini mengumumkan DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.

Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.