Kanak-kanak memancing jumpa mayat dalam longkang

TASEK GELUGOR: Sekumpulan kanak-kanak yang sedang memancing di longkang tepi jalan dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki di Jalan Merbau Kudung, di sini hari ini.

Penemuan mayat mangsa dikenal pasti sebagai Adanan Hassim, 64, dimaklumkan kepada penduduk kampung sebelum dilaporkan kepada polis sekitar jam 10 pagi.

Anak saudara mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata dia dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu oleh penduduk kampung lalu bergegas ke lokasi jam 12 tengah hari.

Katanya, mayat bapa saudaranya itu ditemui kira-kira 500 meter dari rumah di Kampung Nyior Sebatang.

Mohd berkata, mangsa yang melakukan kerja-kerja kampung bagi menyara hidup tinggal bersendirian sejak bercerai lebih sedekad lalu.PlayNextMute

Menurutnya, mangsa meninggalkan lima anak yang kini tinggal bersama ibu mereka.

“Ini laluan yang sering digunakan bapa saudara untuk membeli makanan kerana terdapat sebuah kedai berhampiran. Saya terkejut menerima berita kematiannya. Setahu saya, dia seorang yang pendiam dan tidak pernah mempunyai masalah dengan penduduk kampung,” katanya.

Mohd berkata, dia dimaklumkan mangsa patah kaki kiri dan dipercayai dilanggar kenderaan sebelum tercampak ke dalam longkang.

“Bagaimanapun, kami masih menunggu hasil siasatan polis,” katanya.

Terdahulu, polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengeluarkan mayat. Pasukan forensik dengan bantuan Unit K9 turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira dua hari lalu berdasarkan keadaan mayat. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kecederaan pada kaki serta punca kematian.