KUALA LUMPUR: Semua pusat beli-belah di seluruh negara diwajibkan mempunyai Fasiliti Pengitaran Semula (FPS) secara berperingkat mulai awal bulan ini.
Menterinya Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata penguatkuasaan peraturan itu antara syarat permohonan dan pembaharuan lesen premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, keputusan berkenaan dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang semalam sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pengurusan sisa pepejal negara serta mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi kitaran yang lebih mampan.
“Pelaksanaan inisiatif berkenaan akan dimulakan dengan fasa libat urus dan program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan sukarela dalam kalangan pengusaha pusat membeli-belah.
“Ia akan diikuti dengan pelaksanaan projek rintis di PBT terpilih bagi menilai keberkesanan mekanisme pelaksanaan sebelum penguatkuasaan dibuat secara berfasa dan seterusnya diperluaskan kepada pematuhan mandatori membabitkan semua pusat membeli-belah di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kor Ming berkata, cadangan berkenaan juga akan diangkat untuk pertimbangan Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) bagi memastikan pelaksanaannya dapat diselaraskan secara menyeluruh di peringkat kerajaan negeri dan PBT.
Beliau berkata, langkah berkenaan amat signifikan memandangkan Malaysia menjana lebih 39,000 tan sisa pepejal setiap hari, sekali gus memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan kadar kitar semula negara.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat serta memelihara kelestarian alam sekitar.
“Pusat membeli-belah menjadi antara lokasi yang paling kerap dikunjungi masyarakat. Dengan mewujudkan fasiliti kitar semula di lokasi strategik ini, rakyat akan mempunyai akses yang lebih mudah untuk mengasing dan menghantar bahan yang boleh dikitar semula secara bertanggungjawab,” katanya.
Inisiatif berkenaan juga dijangka menyokong pelaksanaan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (Extended Producer Responsibility – EPR) serta mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sisa.
Pada masa sama, Kor Ming berkata, orang ramai juga berpeluang menjana nilai ekonomi menerusi program “trash to cash” melalui penghantaran bahan kitar semula ke fasiliti yang disediakan.
“Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, PBT, pengusaha pusat membeli-belah serta kementerian dan agensi berkaitan dalam menyediakan garis panduan yang jelas dan seragam di seluruh negara.
“Sehubungan itu, KPKT menyeru semua pihak dan masyarakat untuk bersama-sama menjayakan inisiatif berkenaan demi membentuk Malaysia yang lebih bersih, hijau dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta agenda pembangunan lestari negara,” katanya.

