Dapur Siswa MADANI pastikan tiada mahasiswa tercicir – Zambry

KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, hari ini merasmikan Dapur Siswa MADANI di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi memperkasa kebajikan mahasiswa, khususnya menerusi program bantuan makanan.

Menurut beliau, komitmen UNIMAS itu selari dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memastikan tiada mahasiswa tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya.

“Kepada seluruh mahasiswa di luar sana, sekiranya anda berdepan apa jua masalah, khususnya berkaitan kewangan sehingga menjejaskan keperluan harian termasuk makanan, jangan pendam atau berasa segan.

“Berhubunglah dengan pihak universiti masing-masing. Banyak saluran bantuan disediakan dan pihak universiti sentiasa bersedia membantu.

“Saya tidak mahu ada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut, berlapar atau mengorbankan keperluan asas semata-mata untuk meneruskan pengajian. Fokus utama anda adalah belajar, menimba ilmu dan membina masa depan.

SUMBER : BULETIN TV3