336 kes penyelewengan diesel dikesan menerusi Op Tiris 4.0

KUALA LUMPUR: Sebanyak 740 kes dicatatkan di seluruh negara menerusi Op Tiris 4.0 dengan cubaan menyeleweng diesel mencatat jumlah tertinggi iaitu 336 kes sejak 16 Mac hingga 3 Jun lalu.

Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan secara berterusan di kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, sebanyak 59,965 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara sepanjang tempoh operasi berkenaan.

“Daripada 740 kes direkodkan, penyelewengan diesel mencatat jumlah tertinggi iaitu 336 kes, diikuti petrol (153 kes), gas petroleum cecair (LPG)(100 kes), dan minyak masak sebanyak 84 kes.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM30.33 juta dengan tangkapan 253 individu.

Sementara itu, gula merekodkan 46 kes, manakala tepung gandum paling rendah dengan 21 kes,” katanya hari ini.

Beliau berkata, antara lokasi yang menjadi tumpuan termasuk stesen minyak, pangkalan haram, laluan tikus, jeti dan sekitar kawasan sempadan.

Hasil siasatan turut mendapati sindiket menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa termasuk mengubah suai tangki minyak kepada kapasiti lebih besar dan memindahkan bahan api bersubsidi ke stor transit sebelum diseludup.

“Sindiket juga menggunakan dokumen atau urusan pembelian yang mengelirukan bagi menyembunyikan tujuan sebenar pembelian bahan api terbabit

“Selain itu, sindiket turut menggunakan beberapa buah kenderaan yang berulang-alik merentasi sempadan dengan membawa kuantiti bahan kawalan yang kecil bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Meskipun sindiket sentiasa memperbaharui dan mempelbagaikan modus operandi mereka untuk mengelakkan pengesanan, pihak berkuasa kekal komited untuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan agar dapat dibendung secara berkesan serta kepentingan negara terus terpelihara,” katanya.

Azman berkata, operasi yang dijalankan turut dibantu hasil maklumat risikan dan aduan orang ramai selain kerjasama erat antara KPDN dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi berkaitan lain.

SUMBER : BULETIN TV3