Tiga etnik Rohingya didakwa esok, seorang hadapi pertuduhan bunuh

NIBONG TEBAL – Seorang lelaki dan dua wanita etnik Rohingya yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh bersenjatakan parang di Taman Belibis di sini pada 31 Mei lalu akan didakwa atas pertuduhan berbeza di Mahkamah Majistret Jawi di sini esok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, pertuduhan terhadap suspek lelaki akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 324 akta sama.

“Manakala dua lagi suspek wanita akan didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Ketiga-tiga individu itu merupakan antara suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki Rohingya berusia 31 tahun yang berlaku di sebuah rumah di Taman Belibis di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami beberapa kecederaan tikaman pada badan, manakala isterinya berusia 26 tahun turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya bagi rawatan lanjut.

Kesemua suspek sebelum ini direman selama bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, sebelum pertuduhan dibawa ke mahkamah. – MalaysiaGazette