Gelaran Tan Sri Isa Samad ditarik balik

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Datuk Mohd Isa Abdul Samad berkuat kuasa pada 8 Jun 2026.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, penarikan balik itu adalah bersangkutan dengan Mohd Isa telah disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

“Penarikan balik kurniaan itu adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan serta titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” katanya.

Pada 10 Februari lalu, Mohd Isa yang juga bekas Pengerusi Felda dipenjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan kesalahan rasuah RM3.09 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Keputusan muktamad itu ditentukan secara sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan selepas membenarkan rayuan akhir pendakwa raya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nordin Hassan mengembalikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 yang membebaskannya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali berpuas hati keterangan saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang ketika itu pegawai khas politiknya adalah kredibel dan diterima mahkamah.

Ketika membacakan alasan penghakimannya, Hakim Nordin berkata, dapatan hakim bicara disokong oleh bukti mengikut undang-undang bahawa responden gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Panel itu berpuas hati, intipati pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(A) akta itu berhubung pembelian hotel, berjaya dibuktikan tanpa keraguan yang munasabah. – MalaysiaGazette