Puteri Thailand meninggal dunia selepas hampir 4 tahun koma

BANGKOK: Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, anak sulung Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, meninggal dunia pada usia 47 tahun, menurut kenyataan pihak istana hari ini, selepas mengalami pelbagai masalah kesihatan dan hampir empat tahun koma.

Puteri itu dimasukkan ke hospital pada Disember 2022 selepas tiba-tiba tidak sedarkan diri akibat masalah jantung ketika melakukan lawatan ke wilayah Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand. Beliau kemudian diterbangkan dengan helikopter ke Bangkok untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut kenyataan istana, baginda mangkat pada petang semalam selepas keadaan kesihatannya semakin merosot akibat jangkitan dalam rongga abdomen, radang usus besar (kolitis), tekanan darah rendah, gangguan rentak jantung (aritmia) serta masalah pembekuan darah.

Bajrakitiyabha, yang lebih dikenali sebagai Puteri Pa, dilahirkan pada 7 Disember 1978 hasil perkahwinan Raja Vajiralongkorn ketika masih bergelar Putera Mahkota dengan isteri pertamanya, Puteri Soamsawali.

Di Thailand, beliau dikenang atas peranan penting dalam kehidupan awam, usaha memperbaiki kebajikan banduan wanita serta kerjaya diplomatiknya yang cemerlang.PlayNextMute

Beliau mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Cornell di Amerika Syarikat sehingga memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD). Dari 2006 hingga 2011, beliau berkhidmat sebagai peguam di Pejabat Peguam Negara Thailand.

Antara 2012 hingga 2014, Puteri Bajrakitiyabha berkhidmat sebagai Duta Thailand ke Austria, Slovenia dan Slovakia sebelum kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara di Bangkok.

Beliau juga menubuhkan sebuah badan kebajikan yang memperjuangkan hak banduan wanita, khususnya mereka yang hamil ketika menjalani hukuman penjara.

Pada 2017, baginda dilantik sebagai Duta Muhibah bagi Kedaulatan Undang-Undang di Asia Tenggara oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah.

Pada 2021, beliau menyertai angkatan tentera dan dianugerahkan pangkat jeneral serta berkhidmat sebagai ketua staf dalam Komando Keselamatan Diraja.

Puteri Bajrakitiyabha adalah seorang daripada tiga anak Raja Vajiralongkorn yang mempunyai gelaran diraja rasmi dan layak mewarisi takhta mengikut peruntukan Perlembagaan Thailand.

Pada Oktober tahun lalu, bonda Permaisuri Thailand mangkat pada usia 93 tahun.

Istana diraja dijangka mengadakan istiadat pemakaman diraja, manakala kerajaan Thailand dijangka mengisytiharkan tempoh berkabung kebangsaan. – REUTERS