HOUSTON, Amerika Syarikat: Jurulatih Republik Demokratik Congo (DR Congo), Sebastien Desabre berharap pasukannya mampu mempamerkan aksi baik pada Piala Dunia selepas dibenarkan memasuki Amerika Syarikat (AS).
Desabre berkata beliau berharap skuadnya dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada rakyat negara itu yang sedang berdepan pelbagai kesukaran.
Pasukan itu tiba dengan penerbangan dari Paris selepas pihak berkuasa AS menetapkan mereka perlu menjalani kuarantin selama 21 hari sebelum dibenarkan memasuki negara berkenaan.
“Kami menyesuaikan diri dengan situasi ini,” kata Desabre.
“Kami perlu kekal fokus kerana kami sudah biasa menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan.PauseNextMute
“Itulah yang kami lakukan. Kami berlatih dengan baik, mengharungi dua aksi persahabatan yang sukar dan kini kami berada di sini. Sekarang, ini adalah satu lagi langkah buat kami.”
DR Congo yang layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak beraksi sebagai Zaire pada edisi 1974, membatalkan kem latihan prakejohanan di negara sendiri selepas dilanda wabak Ebola bulan lalu sebelum berpangkalan di Belgium.
Desabre berkata rakyat negaranya sudah lama menunggu untuk melihat pasukan kebangsaan kembali beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia.
“Kami sudah lama tidak beraksi di Piala Dunia,” katanya.
“Kami sudah meraih penghormatan dengan layak ke pusingan akhir. Kini terpulang kepada kami untuk mempamerkan aksi yang baik dalam kejohanan ini.”
DR Congo akan menjadikan Houston sebagai pangkalan sepanjang kejohanan dan akan memulakan kempen Kumpulan K menentang Portugal pada 17 Jun.
Mereka kemudian akan berdepan Colombia di Guadalajara pada 23 Jun sebelum menentang Uzbekistan di Atlanta pada 28 Jun. – AFP

