KUALA LUMPUR: Mana-mana pendaki yang sesat di hutan mempunyai potensi lebih baik untuk dijumpai dalam tempoh masa yang cepat iaitu selewat-lewatnya tiga hari, jika mereka hanya kekal berada di satu lokasi, berbanding berjalan tanpa arah.
Sehubungan itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Mohamad Razi Abdul Mutallib, berkata adalah amat penting untuk pendaki yang sesat di hutan supaya hanya kekal di satu tempat bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
“Kalau sesat ini sebenarnya sangat penting untuk kekal di satu tempat yang ada sumber air dan sesuai untuk berlindung.

“Kita di Malaysia ini, sebaik sahaja anggota penyelamat menerima laporan, kita tidak pergi esok sebaliknya akan terus keluar beri bantuan…sebab itu saya kata paling kuatpun dua atau tiga hari (dapat jumpa) berbza dengan mereka yang bergerak.
“Contohnya kes membabitkan warga Britain dan Kenya di Bukit Broga sebelum ini, kami ada menjumpai mesej yang meminta tolong di Puncak 18, namun mereka tiada di situ…jika mereka kekal di situ, akan lebih cepat mangsa ditemui,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Podcast BH Borak Harini bertajuk ‘Pendaki tolonglah jangan susahkan bomba’ yang disiarkan di platform Youtube BH.
Turut serta sebagai panel dalam program itu ialah Pengerusi Malim Gunung Perhutanan, Mohd Azuan Abdullah dan Timbalan Pengerusi Malim Gunung Perak, Nur Shahira Abdul Rauf.

Ketika ditanya sama ada unsur mistik ‘mengganggu’ operasi SAR pihak bomba, Mohamad Razi bagaimanapun berkata, faktor itu tidak boleh diletakkan sebagai keutamaan, sebaliknya penilaian awal yang dilakukan pihaknya ialah menganggap mangsa masih hidup.
Beliau berkata, namun jika pengamal perubatan yang ingin menyertai operasi SAR itu, pihak penyelamat tidak akan menghalang mereka.
“Faktor mistik ini kita letak di belakang. Kita tidak nafikan dengan mengatakan kita tidak percaya tapi bagi operasi SAR, jika mistik diletakkan sebagai punca utama, tidak payahlah kita pergi mencari.
“Kalau mereka sukarela ingin datang membantu, kita bagi peluang. Contoh macam kes Acap di Gopeng saya rasa ratusan pengamal perubatan yang datang. Ada yang datang berserban ada yang datang berselimpang namun operasi SAR tetap berjalan,” katanya.
Sementara itu, Nur Shahira pula berkata, pendaki seharusnya melalukan ulangkaji dengan cara yang betul dan bukannya mendapatkan maklumat di media sosial.

Beliau yang turut menyertai operasi mencari Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak, berkata, proses ulangkaji itu penting sebelum menyertai aktiviti mendaki khususnya membabitkan gunung yang mencabar.
“Saya akan ingatkan pendaki kalau setuju untuk menyertai aktiviti terbabit supaya membuat ulangkaji. Saya selalu cakap dengan mereka jangan belajar di Tiktok.
“Ada perkara yang kita terpaksa tegas dengan mereka sebab perkhidmatan yang kita lakukan ini membabitkan nyawa,” katanya.
Nur Shahira berkata, amat penting bagi seseorang pendaki untuk ‘mengukur baju di badan sendiri’ dengan memastikan mereka benar-benar mampu untuk mendaki dan bukannya terpengaruh dengan ajakan rakan atau sekadar ingin membuat kandungan di laman sosial.
Mohd Azuan pula berkata, budaya mendaki kini memang menjadi pilihan malah berdasarkan rekod diterima pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, kira-kira 200,000 permohonan diterima dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata, persediaan awal amat penting buat seorang pendaki dengan membawa semua peralatan termasuk ubat-ubatan sendiri tanpa mengharapkan rakan lain.
“Bawa semua sendiri termasuk ubat, penyala api dan selimut dan benda paling asas boleh bawa ialah plastik sampah (hitam) kerana ia sangat membantu ketika sejuk, berikutan boleh memerangkap haba.
“Sarung sahaja plastik hitam dalam badan, automatik badan kita akan panas,” katanya.


