Bomoh Brazil ramal ‘penculikan makhluk asing’ ketika Scotland lawan Brazil

BRASILIA: Seorang bomoh dari Brazil membuat ramalan luar biasa apabila mendakwa akan berlaku penculikan oleh makhluk asing ketika perlawanan antara Scotland dan Brazil di Piala Dunia 2026.

Skuad kendalian Steve Clarke dijadual menentang juara dunia lima kali itu dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Hard Rock, Miami pada 25 Jun ini.

Ketika kejohanan Piala Dunia sedang berlangsung, ramai peminat dan pemerhati bola sepak membuat pelbagai ramalan berani mengenai apa yang bakal berlaku.

Namun, ramalan bomoh dari Brazil itu mungkin yang paling pelik setakat ini.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial, spiritualis Anatercia da Silva Gonçalves atau lebih dikenali sebagai Vo Bahiana mendakwa makhluk asing bersisik seperti reptilia akan menceroboh padang sebelum menculik beberapa pemain ketika perlawanan itu berlangsung.

Dakwaannya itu pastinya tidak menggembirakan penyokong Scotland apabila kapten pasukan, Andy Robertson, pemain tengah Scott McTominay dan John McGinn antara nama yang dikatakan akan menjadi mangsa penculikan.

Wanita berusia 40 tahun itu turut menegaskan dia yakin dengan ramalannya selepas mendakwa bermimpi perkara sama buat kali kedua.

“Saya perlu beritahu bahawa saya bermimpi lagi mengenai makhluk asing yang menyerbu padang bola sepak di Miami.

“Saya melihat dengan jelas pemain-pemain dibawa pergi oleh kapal angkasa pertama yang tiba. Saya sendiri berada di dalam kapal itu.

“Apabila kapal itu berlepas, sebuah kapal induk yang jauh lebih besar muncul dan membawa ribuan orang dari padang bola sepak itu.

“Saya melihat terlalu banyak jeritan, tangisan dan penderitaan. Saya benar-benar takut kerana ini kali kedua saya bermimpi perkara yang sama.

“Dan mereka mengatakan bahawa pada 25 Jun nanti, sesuatu yang sangat buruk akan berlaku ketika perlawanan di Miami, Amerika Syarikat,” katanya.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak disokong sebarang bukti saintifik dan sekadar berdasarkan pengalaman mimpi serta kepercayaan peribadi individu berkenaan.