MOSCOW: Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Russia, Rosaviatsiya, telah memperkenalkan sekatan pengisian bahan api pesawat bagi syarikat penerbangan asing di beberapa lapangan terbang di seluruh negara, lapor media tempatan pada Sabtu menurut Xinhua.
Langkah itu diambil selepas syarikat penerbangan luar negara semakin kerap membeli bahan api secara berlebihan bagi mengurangkan kos operasi mereka.
Rosaviatsiya dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa syarikat penerbangan asing kini dikehendaki menyelaraskan pembelian bahan api dengan pembekal tempatan, manakala jumlah pengisian tidak boleh melebihi kuantiti yang diperlukan untuk penerbangan yang dijadualkan.
Langkah berkenaan terpakai di lapangan terbang di bandar Mineralnye Vody, Makhachkala, dan Nizhny Novgorod, antara lain.
Menurut agensi itu, dalam usaha mengurangkan perbelanjaan operasi, syarikat penerbangan asing mengisi bahan api di lapangan terbang Russia dalam jumlah yang jauh melebihi keperluan penerbangan sebenar mereka, sekali gus menjejaskan perancangan bekalan bahan api dan logistik tempatan.
Langkah itu dikuatkuasakan di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam pasaran bahan api global.
Ketegangan di Asia Barat telah mengganggu laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, iaitu laluan air utama untuk eksport minyak dan gas asli cecair dari negara-negara Teluk, yang mendorong kenaikan harga bahan api global serta mencetuskan kekurangan bahan api penerbangan.
Pada awal Jun, Kerajaan Russia telah memperkenalkan larangan eksport terhadap minyak tanah penerbangan, termasuk bahan api yang dibeli melalui perdagangan bursa, yang akan kekal berkuat kuasa sehingga 30 November.

