AS mahu G7 bincang langkah susulan Iran, pembersihan periuk api di Selat Hormuz

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merancang menggunakan sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) untuk membincangkan langkah susulan berkaitan perjanjian rangka kerja perang Iran, termasuk kemungkinan sumbangan kepada operasi pembersihan periuk api di Selat Hormuz, menurut pegawai AS pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Seorang pegawai kanan kerajaan AS berkata menjelang sidang itu bahawa negara ekonomi utama G7 memberi bayangan terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan sebaik sahaja perjanjian rangka kerja dimuktamadkan.

Beliau membangkitkan isu pembersihan periuk api di selat strategik itu yang penting kepada perdagangan minyak global. Menurutnya, AS mempunyai keupayaan dalam bidang berkenaan, namun beberapa negara G7 turut memiliki kapasiti besar dan bersedia menyumbangkannya secara sukarela.

Misi tentera laut berkecuali di Selat Hormuz kini sedang disediakan di bawah pimpinan Perancis dan Britain. Lebih 40 negara menyatakan sokongan, termasuk Jerman.

Operasi pembersihan periuk api turut menjadi sebahagian daripada misi itu.PlayNextMute

Menurut pegawai itu, Trump juga bercadang menggunakan sidang kemuncak G7 untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan wakil Mesir, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak akan menyertai rundingan itu, menurut pegawai AS.

Perbincangan dijangka meliputi isu Iran, Gaza dan Lubnan.

Trump dijadual tiba di bandar Evian, Perancis pada petang Isnin. Kumpulan ekonomi demokratik utama dunia yang terdiri daripada AS, Jerman, Perancis, Britain, Itali, Kanada dan Jepun, serta Kesatuan Eropah (EU), dijadual bermesyuarat di bandar peranginan di Tasik Geneva itu dari Isnin hingga Rabu.