PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan kadar inflasi negara terkawal antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus tahun ini susulan krisis tenaga global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pada masa ini negara berjaya mengekalkan kadar inflasi sebanyak 1.9 peratus pada April lalu.
“Jangkaan inflasi global adalah sekitar 4.5 peratus dan sekiranya berlaku di Malaysia, ia amat mencabar.
“Komitmen kita untuk mengekalkannya pada paras yang boleh dihadapi walaupun kita sedar tekanan ini datang dari peringkat nasional, iaitu bekalan minyak yang memberi kesan kepada kos, selain dari segi input barangan yang kita perlu ada dalam usaha aktiviti ekonomi ini terus berlaku,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pemulihan bekalan minyak global dijangka mengambil masa meskipun Amerika Syarikat (AS) dan Iran berjaya mencapai perjanjian damai.
“Sekiranya benar perjanjian damai itu boleh dicapai, kesannya itu akan mengambil masa berikutan proses untuk memulihkan keadaan dari segi laluan di Selat Hormuz serta memulihkan kerosakan infrastruktur yang terkesan ketika peperangan,” katanya.
Selat Hormuz adalah laluan penting perdagangan minyak global dan sebarang gangguan memberi kesan kepada kos tenaga serta tekanan inflasi termasuk di Malaysia.
Justeru, Kementerian Ekonomi akan terus memantau perkembangan semasa dan mengekalkan langkah mitigasi menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

